Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Suami pengasas Dnars nafi ambil RM1.3 juta

Sinar Harian 11/10/2025 | 01:30 MYT
Ahmad Shah Rizal (kanan) menafikan tuduhan mengambil serta menyembunyikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta dalam satu sidang media. - Gambar Sinar Harian
SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Ahmad Shah Rizal Ibrahim menafikan tuduhan berbaur fitnah dan mengelirukan bahawa dirinya mengambil serta menyembunyikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta.

Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad itu berkata, wang tersebut adalah hasil usaha bersama Allahyarham semasa hayatnya dan secara sukarela mengisytiharkan keberadaan aset berkenaan semasa mesyuarat keluarga.

“Saya mengambil wang itu daripada peti simpanan di bilik kami disaksikan oleh seorang wakil ahli keluarga. Wang RM1.3 juta tersebut disimpan dalam akaun saya sendiri bagi tujuan keselamatan sementara.

“Perkara ini dalam pengetahuan semua ahli keluarga. Tiada bantahan atau pertikaian dibuat oleh ahli keluarga pada ketika itu dan semua bersetuju wang tersebut berada dalam pegangan saya sehingga selesai proses pembahagian pusaka kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau telah dilantik sebagai pentadbir pusaka Allahyarham dengan perintah mahkamah bersama seorang lagi anak arwah, Mohamed Aqbar Hakim Jasman.

Sebagai menghormati keputusan mahkamah, Ahmad Shah Rizal kemudian memindahkan wang RM1.3 juta tersebut ke dalam akaun bank pentadbir pusaka dalam tempoh empat hari bekerja yang mana akaun berkenaan dikelolakan oleh beliau sendiri.

“Selama ini, wang tersebut selamat dalam simpanan saya. Saya ingin jelaskan sehingga ke hari ini, saya telah menjalankan peranan sebagai pentadbir pusaka Allahyarham seperti yang dipertanggungjawabkan oleh Mahkamah sejak tahun 2021.

“Tanggungjawab ini perlu saya laksanakan sehinggalah pusaka arwah selesai diputuskan oleh mahkamah nanti,” jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Shah Rizal menafikan sekeras-kerasnya tomahan tidak berasas yang mendakwa dirinya melarikan atau mengambil hak anak yatim.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang boleh memesongkan fakta sebenar sehingga merosakkan reputasi dan menjejaskan integriti sistem kehakiman.

“Pada masa sama, tindakan undang-undang turut dibuat terhadap tuduhan tidak berasas bagi mempertahankan nama baik dan reputasi saya daripada terus dicemarkan di media sosial serta media arus perdana,” tegasnya.

Untuk rekod, Ahmad Shah Rizal telah mengambil tindakan undang-undang saman fitnah terhadap beberapa pihak pada tahun 2022 dan menunggu keputusan kes tersebut pada Januari 2026 nanti. - Sinar Harian






#Pengasas Dnars #Allahyarham Faziani Rohban Ahmad #usahawan kosmetik #Ahmad Shah Rizal Ibrahim