AMPANG: Polis memberkas seorang lelaki dipercayai melakukan amang seksual terhadap budak asuhan yang dijaga isterinya di Pandan Indah, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 55 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 10.50 malam.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

"Polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 29 Februari selepas bertanya kepada anak sulungnya itu mengenai kejadian yang berlaku di rumah pengasuh.

"Seorang lagi anak perempuan kedua wanita itu kemudian telah memberitahu bahawa suspek ada melakukan amang seksual terhadap mangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ibu mangsa berusia 38 tahun itu kemudian telah menerima mesej dari pengasuh memberitahu suaminya tidak melakukan perkara tersebut dan diminta untuk merahsiakannya kerana dia mempunyai anak asuhan yang ramai.

Tambahnya, suspek yang ditahan didapati memiliki satu rekod jenayah lampau.

"Suspek kini direman tujuh hari sehingga 11 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian