MALAYSIA

Suami tikam isteri sempat ambil anak dari sekolah sebelum serah diri

Sinar Harian 01/12/2025 | 11:00 MYT
Ahli keluarga Mastura tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja mengetahui kejadian menimpa tukang masak itu yang maut ditikam suami pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Jony. - Foto Sinar Harian
TANAH MERAH: Seorang suami yang dipercayai menikam isterinya sehingga maut sempat mengambil anaknya dari sekolah sebelum menyerahkan diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Seorang suami dipercayai menikam isteri hingga maut sebelum menyerahkan diri di Balai Polis Gual Ipoh.
  • Mangsa bernama Mastura Abdullah, 40 tahun, merupakan isteri ketiga suspek dengan dua anak berusia 10 dan 12 tahun.
  • Kejadian tragis ini berlaku di rumah mereka di Kampung Paku, Gual Periok, menyebabkan kehilangan seorang ibu yang bekerja sebagai tukang masak.


Suspek yang berusia 63 tahun itu dikatakan berbuat demikian menggunakan senjata tajam pada kira-kira jam 10 pagi di ruangan dapur rumah mereka di Kampung Paku, Gual Periok di sini.

Mangsa, Mastura Abdullah, 40, merupakan isteri ketiga suspek dan mempunyai dua anak berusia 10 serta 12 tahun.

Adik mangsa, Mohd Jony, 30, berkata, kakaknya yang bekerja sebagai tukang masak itu baru tiba di kampung jam 8 pagi dari Selayang, Selangor dengan menaiki lori sepupu.

Seorang suami yang dipercayai telah menikam isterinya sehingga maut sempat mengambil anak di sekolah sebelum menyerahkan diri di Balai Polis Gual Ipoh, Tanah Merah pada Isnin. - Foto Sinar Harian


"Kakak sampai di rumah dalam jam 9 pagi, selepas diambil adik bongsu kami di sebuah stesen minyak di Machang.

"Sepupu menurunkan dia di sana. Kemudian adik hantar ke rumah. Kami mengetahui kejadian ini dalam tengah hari, setelah abang ipar menyerahkan diri di balai polis.

"Sebelum itu dia sempat ambil anak lelakinya di sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah, dalam jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Jony, mereka bergegas ke rumah kakaknya selepas mengetahui kejadian tersebut namun tidak dapat menghampiri jenazah mangsa kerana polis sedang melakukan siasatan.

Ujarnya, anak saudaranya dikatakan merupakan orang pertama yang melihat mangsa namun disebabkan dia adalah orang kurang upaya (OKU), tiada sebarang tindakan diambil.

Anak lelaki mangsa yang merupakan OKU berusia 10 tahun tidak dapat menahan sebak dan sedang ditenangkan oleh ahli keluarganya.  - Foto Sinar Harian


Dia memberitahu, kakaknya itu sudah lebih setahun bekerja di Selayang dan akan pulang bercuti setiap bulan, manakala suspek pula tidak bekerja.

"Abang ipar dan kakak telah berkahwin selama 14 tahun dan dia (abang ipar) tidak bergaul dengan orang kampung. Jadi sukar untuk kami membuat apa-apa andaian.

"Kami hanya dimaklumkan arwah ditikam di bahagian hadapan dan belakang badannya banyak kali," katanya.

Menurut dia, jenazah Mastura akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku selepas selesai bedah siasat.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang isteri maut ditikam oleh suaminya dipercayai menggunakan senjata tajam di rumah mereka di Gual Ipoh.

Mangsa berusia 40 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan. -- Sinar Harian








#suami tikam isteri #meninggal dunia #Tanah Merah #ambil anak