[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
NATIONAL

Suami wanita maut tercampak dari van di KESAS ditahan - Polis

Astro Awani 07/05/2025 | 03:50 MYT
Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian isterinya yang berlaku di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala Petaling Jaya.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian isterinya yang berlaku di tepi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, suspek yang berusia 50 tahun merupakan suami kepada mangsa ditahan di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong, Selangor pada Selasa oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima di Balai Polis Bandar Kinrara.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan memaklumkan, berlaku pertengkaran mulut antara mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Suspek dan mangsa telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.
"Saringan awal air kencing terhadap suspek menunjukkan keputusan positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Benzodiazepine.
"Suspek juga mempunyai satu rekod jenayah serta dua rekod berkaitan dadah,” jelasnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Tambah beliau lagi, siasatan juga mendapati mangsa dipercayai turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis Methamphetamine.
#wanita maut #maut tercampak #Lebuhraya Shah Alam #KESAS #tercampak dari van