NATIONAL
Suami wanita maut tercampak keluar dari van di Kesas bakal didakwa - Polis
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suami kepada wanita yang maut selepas tercampak dari van yang dinaikinya di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya pada 6 Mei lepas akan dituduh dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- Seorang wanita maut selepas tercampak dari van di Lebuhraya KESAS berhampiran R&R Awan Besar pada 6 Mei, dipercayai akibat pertengkaran dengan suaminya.
- Polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan kematian, dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
- Suami mangsa akan didakwa dalam masa terdekat berhubung kejadian tersebut.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan kematian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program derma darah sempena Hari Polis ke-218 di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada 6 Mei lepas, seorang wanita ditemukan maut selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah van di tepi Lebuhraya KESAS dan siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku akibat pertengkaran antara mangsa dengan suaminya.
Sementara itu, mengenai kes penemuan mayat bayi lelaki di Sungai Klang pada 9 Mei lepas, Mohamed Usuf berkata siasatan masih dijalankan.
-- BERNAMA