MALAYSIA

'Suara kecil' jadi teras reformasi pendidikan negara - Fadhlina

Bernama 11/01/2026 | 01:45 MYT
Fadhlina ketika berucap menyampaikan amanat Tahun Baharu kepada warga KPM pada Jumaat lepas. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan "suara kecil" guru, murid dan komuniti sekolah sebagai teras utama reformasi pendidikan serta asas kepada pembangunan Kurikulum Pendidikan Baharu.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan (KPM) menjadikan "suara kecil" guru, murid, dan komuniti sekolah sebagai teras reformasi pendidikan, menekankan bahawa pendekatan ini penting untuk tindakan bermakna demi kemajuan pendidikan negara.
  • Kurikulum Pendidikan Baharu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini, dengan penekanan kepada pembentukan karakter, pengurusan diri, minat membaca, pembelajaran bersepadu, dan teknologi digital bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang inklusif.
  • Usaha memperkasakan pendidikan prasekolah termasuk penambahan kelas prasekolah, penyediaan televisyen pintar, dan peluasan Program Sesi Baca Bersama ke rumah, sambil memperkenalkan sistem penggredan baharu untuk pentadbir sekolah demi kesan yang lebih berkesan.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata reformasi di sekolah ialah medium untuk menterjemahkan suara kecil ini kepada tindakan bermakna, bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan tidak sekadar kekal sebagai wacana di atas kertas.

"Kemenjadian murid hanya bermakna apabila kita benar-benar mendengar suara murid dan guru, kerana di situlah terletaknya denyut nadi pendidikan," katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu kepada warga KPM pada Jumaat lepas.

Selari dengan pendekatan itu, beliau berkata Kurikulum Pendidikan Baharu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini, dengan Kurikulum Prasekolah 2026 sebagai langkah awal.

Fadhlina berkata kurikulum berkenaan memberikan penekanan kepada pembentukan karakter, pengurusan diri, minat membaca, pembelajaran bersepadu serta pendedahan awal kepada teknologi digital, selain memastikan murid berkeperluan khas mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat dan inklusif.

Mengulas tentang usaha memperkasakan pendidikan prasekolah, beliau berkata kemudahan akan dipertingkatkan termasuk penyediaan televisyen pintar dan peluasan Program Sesi Baca Bersama ke rumah.

Bagi memperluas akses, sebanyak 350 kelas prasekolah tambahan disasarkan pada tahun ini termasuk di lapan Kolej Matrikulasi, diikuti 150 kelas lagi pada 2027, manakala kerajaan turut memperuntukkan RM125 juta bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan kelas sedia ada.

Menyentuh soal tadbir urus sekolah, Fadhlina berkata sistem penggredan baharu akan dilaksanakan mulai hari ini, melibatkan penaiktarafan pentadbir sekolah kepada siswazah dengan mengambil kira beban tugas berdasarkan enrolmen murid, penghuni asrama dan tahap pendidikan.

"Hal ini bagi memastikan pentadbir memiliki kelayakan serta kuasa yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawab secara lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata penggredan baharu itu turut memenuhi beberapa tuntutan utama kesatuan guru, termasuk membolehkan Guru Akademik Biasa (GAB) Gred DG12 dilantik sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) sekolah rendah serta menyediakan fleksibiliti pertukaran tempat bertugas.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM mengenal pasti 14 Inisiatif Segera (Quick Win) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 bagi menangani isu kritikal termasuk sekolah padat, sekolah daif, pendidikan khas serta kesejahteraan guru dan murid.

Antara inisiatif berkenaan ialah pengoperasian 17 sekolah baharu tahun ini, naik taraf 50 sekolah daif serta penyediaan peralatan makmal komputer di 1,801 sekolah.

Dalam aspek pendidikan inklusif, beliau berkata 200 kelas Pendidikan Khas baharu akan dibuka secara berfasa, selain peluasan Program Sekolah Model Khas Komprehensif K11 dan pengoperasian Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Bagi menyokong guru dan pentadbir, sebanyak 1,470 pembantu guru akan ditempatkan, manakala 600 Pembantu Warden Asrama MyStep akan dilantik bermula pada Mac ini.

Dalam aspek teknologi pendidikan pula, Fadhlina berkata 800 sekolah akan melaksanakan Program Bilik Darjah Dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI), manakala pelantar pembelajaran DELIMa 3.0 berasaskan AI akan digunakan mulai bulan ini.

Menyentuh pelajar prauniversiti, beliau berkata KPM buat julung-julung kalinya menyalurkan Bantuan Persekolahan Awal sebanyak RM150 secara one-off (sekali beri) kepada 99,678 murid tingkatan enam sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka serta sokongan awal ke arah kesinambungan pembelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Fadhlina menyeru seluruh ekosistem pendidikan termasuk guru, pentadbir, ibu bapa sehingga pihak korporat agar bersama-sama memikul amanah membina masa depan pendidikan negara.

"Ingatlah, kejayaan sebenar pendidikan bukan diukur semata-mata melalui pencapaian global, tetapi apabila anak-anak kita berkembang menjadi insan beradab dan berdaya tahan .... Apabila perkara itu berlaku, barulah kita benar-benar menunaikan amanah sebagai pendidik dan pembina bangsa," katanya.

-- BERNAMA

#Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan #reformasi pendidikan #Kurikulum Pendidikan Baharu