NATIONAL

Suaram gesa kerajaan lebih terbuka kongsi statistik kematian dalam tahanan

Asyraf Malik 10/04/2025 | 08:50 MYT
Sevan Doraisamy (tiga, kiri) melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2024 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan lebih terbuka berkongsi statistik isu kemanusiaan seperti jumlah kematian dalam tahanan yang berlaku membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia, polis atau penjara.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy mendakwa ketika ini, statistik rasmi sedemikian sukar didapati daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan perlu ditanya kepada Ahli Parlimen terlibat ketika persidangan Dewan Rakyat.

Menurut Sevan, situasi itu menimbulkan kesulitan, memandangkan sidang Dewan Rakyat sepatutnya menumpukan kepada penggubalan polisi dan perundangan negara, tetapi terpaksa diganggu bagi memperoleh statistik tersebut.

"Statistik ini sepatutnya dikeluarkan jabatan atau kementerian berkaitan dalam laporan tahunan mereka jika ada.

"Sebagai contoh, Kementerian Dalam Negeri, seharusnya menjadi tanggungjawab mereka untuk mengeluarkan statistik tahunan mengenai isu seperti bilangan kematian dalam tahanan," dakwanya ketika melancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2024 pada Khamis.

Tambah beliau, data dikongsikan ada kalanya terikat dengan Aktra Rahsia Rasmi (OSA), menyebabkan isu kemanusiaan berkenaan sukar didedahkan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, kandungan laporan tahunan Suaram 2024 mengetengahkan pelbagai masalah ekspolitasi dan salah guna kuasa yang meruncing dalam negara, antaranya aspek kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.


#SUARAM #statistik #Isu kemanusiaan #DoSM #kematian dalam tahanan