[TERKINI] Setiausaha Agung FAM Digantung Tugas Serta-Merta. Isu dokumentasi pemain warisan kepada FIFA – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Suasana pilu iringi penghormatan terakhir mendiang Yap Shing Xuen

Ernalisa Othman 17/10/2025 | 06:14 MYT
Suasana pilu menyelubungi Nirvana Centre Kuala Lumpur apabila rakan-rakan dan guru hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Yap Shing Xuen.
KUALA LUMPUR: Suasana di Nirvana Centre Kuala Lumpur bertukar hiba apabila rakan-rakan sekolah mendiang Yap Shing Xuen, pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, hadir memberikan penghormatan terakhir.


Ringkasan AI
  • Suasana pilu menyelubungi Nirvana Centre Kuala Lumpur apabila rakan-rakan dan guru hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Yap Shing Xuen.
  • Mendiang disifatkan sebagai pelajar ceria dan disenangi, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar kepada komuniti sekolah.
  • Kejadian tragis melibatkan tikaman oleh rakan sekolah lelaki berusia 14 tahun masih dalam siasatan, dengan dua bilah senjata tajam telah dirampas oleh polis.


Sejak jam 11 pagi, guru-guru dan pelajar dari sekolah mendiang dilihat hadir bersama ahli keluarga, memberikan penghormatan penuh emosi kepada mendiang.

Beberapa rakan sekolah turut meletakkan jambangan bunga berhampiran keranda sebagai tanda kasih dan ucapan selamat tinggal.

Walaupun wakil media tidak dibenarkan memasuki dewan peringatan, suasana pilu dapat disaksikan di luar ruang utama dengan kehadiran rakan dan keluarga terdekat.

Mendiang sebelum ini disifatkan sebagai pelajar yang ceria dan disenangi ramai, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar kepada komuniti sekolah.

Dalam pada itu, bapa mendiang yang kelihatan tenang dilihat keluar dari dewan peringatan pada jam 1.30 petang sebelum masuk semula kira-kira 20 minit kemudian.

Pada Selasa lalu, negara dikejutkan dengan laporan kematian seorang pelajar perempuan yang dipercayai ditikam beberapa kali oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi berhampiran kawasan tandas perempuan, di luar bilik darjah.

Pihak polis telah merampas dua bilah senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa tikaman pada bahagian badan.





#pelajar ditikam #ditikam berhampiran tandas #Nirvana Centre Kuala Lumpur #Yap Shing Xuen #rakan sekolah lelaki