MALAYSIA

Subsidi bersasar, pendidikan digital dan tenaga kerja asing antara fokus sidang Dewan Rakyat

Astro Awani 02/11/2025 | 23:10 MYT
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keberkesanan pelaksanaan subsidi bersasar, pendidikan digital di sekolah serta jumlah pekerja asing mengikut sektor menjadi antara tumpuan utama sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen gesa kajian keberkesanan sistem PADU sebelum subsidi bersasar diperluas.
  • Pendidikan digital dan pembangunan guru dibangkitkan, termasuk isu infrastruktur dan peranti untuk murid B40.
  • Jumlah pekerja asing dan pengurangan kebergantungan turut jadi tumpuan dalam sesi soal jawab.


Menurut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad meminta Menteri Ekonomi menyatakan kajian keberkesanan sistem PADU sebelum subsidi bersasar dilaksanakan secara lebih meluas.

Beliau turut menekankan keperluan semakan jumlah penerima serta langkah mitigasi bagi mengelakkan keciciran golongan B40 dan M40 secara sistemik atau teknikal.

Dalam sesi sama, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin meminta Menteri Kewangan menjelaskan status pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan usaha kerajaan memastikan hanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana benar-benar menerima manfaat tersebut.

Isu pendidikan turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang meminta penjelasan mengenai jumlah perbelanjaan kerajaan untuk prasekolah berbanding tahap pendidikan lain.

Beliau juga mahu tahu peratusan nilai yang diperuntukkan kepada pembangunan bakat guru, khususnya berkaitan sukatan terkini pendidikan awal kanak-kanak (ECCE).

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan menyeluruh kementerian dalam memastikan pendidikan digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh di sekolah.

Ini termasuk penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi di semua sekolah, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, serta peruntukan peranti digital kepada murid daripada keluarga B40.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah pekerja asing dalam negara mengikut sektor serta pendirian kementerian untuk mengehadkan penglibatan tenaga kerja asing bagi mengurangkan kebergantungan dan mengoptimumkan tenaga kerja tempatan.

Sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat dasar oleh kementerian berkaitan.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember.







#Dewan Rakyat #subsidi bersasar #pendidikan digital #tenaga kerja asing