Subsidi penternak disalur kepada pengguna, pakar ekonomi kemuka dua kebimbangan

Harits Asyraf Hasnan
Jun 2, 2022 05:05 MYT
Penternak tidak akan menerima subsidi bermula 1 Julai depan selepas kerajaan memutuskan untuk bantuan bernilai RM720 juta sebulan itu disalurkan kepada pengguna yang terjejas akibat kenaikan harga barangan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk tidak lagi memberi subsidi kepada penternak, sebaliknya disalurkan kepada pengguna mencetuskan dua kekhuatiran utama kepada landskap ekonomi negara.
Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Madeline Berma bimbang sekiranya bantuan tersebut tidak sampai kepada golongan yang disasarkan.
Pada masa sama, beliau khuatir akan berlakunya kenaikan harga barangan mentah yang lain susulan keputusan tersebut.
"Bagaimana dengan nasib golongan M40? Sebab yang makan atau beli ayam itu tidak kira taraf pendapatan, terutama golongan M40 di peringkat paling bawah dan menghampiri paras B40 kerana mereka juga rasa begitu tertekan.
"Apa yang penting bagi saya adalah usaha untuk mengurangkan harga barangan.
"Bagaimanapun, berkenaan penyaluran bantuan secara bersasar terus kepada pengguna, satu pihak ia dilihat baik. Adakah ia seperti mana-mana inisiatif bersasar, betulkah siapa yang nak disasarkan?
"Isu kedua ialah berkaitan harga ayam di mana apabila diberi duit atau tunai langsung, masalah nanti ia akan melibatkan kitaran benda lain.
"Nanti peniaga-peniaga bukan ayam pula akan kata, 'anda sebagai pengguna sudah dapat bantuan daripada kerajaan', itu peluang untuk mereka menaikkan harga barangan lain," katanya ketika ditemu bual Niaga AWANI hari ini.
Niaga AWANI: Inflasi | Subsidi penternak disalur ke pengguna, mampu kawal harga?
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa subsidi kepada penternak berjumlah RM720 juta sebulan akan dihentikan bermula 1 Julai ini.
Subsidi tersebut akan disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan seperti golongan B40 susulan kenaikan harga barangan termasuk ayam.
#subsidi penternak #harga makanan #Harga Ayam #Madeline Berma