Sudah tiba masanya untuk sistem pemberian mata demerit jalan raya (Kejara) dikuatkuasakan serta-merta bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sekiranya sistem yang diperkenalkan pada 1984 itu dilaksanakan sepenuhnya, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

"Saya yakin menerusi pelaksanaan itu nanti, Kejara mampu menghalang pengguna jalan raya yang degil daripada terus melanggar peraturan ditetapkan sekali gus mampu mengurangkan kemalangan jalan raya.

"Saya juga menyeru kepada kementerian berkenaan supaya sistem Kejara dilaksanakan dengan serta-merta. Tidak guna kita bercakap tetapi tidak dikuatkuasakan dan dilaksanakan.

"Kalau di negara lain sudah dikenakan saman, lesen digantung dan sebagainya. Kita ada sistem itu tetapi tidak dilaksanakan. Jadi saya rasa sudah tiba masanya kita laksananya supaya pengguna jalan raya yang degil dan tidak mematuhi undang-undang lalu lintas diambil tindakan," katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), di bawah Sistem Kejara, mereka yang mengumpul 20 mata demerit atau lebih buat kali kedua akan digantung lesen memandu.

Lesen juga akan dibatalkan jika pemilik lesen masih melakukan kesalahan dan setelah tiga kali, lesen pemandu akan digantung dalam tempoh lima tahun.

Dalam pada itu menurut Khalid, cadangan untuk menaikkan kompaun maksimum kepada pesalah trafik akan dihantar secara rasmi kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

"Ia baru diperingkat cadangan dan belum diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diperhalusi dan dimuktamadkan," jelasnya.

Sebelum ini, Khalid berkata, pihaknya bercadang menaikkan kompaun maksimum kepada pesalah trafik bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

Cadangan tersebut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berpandangan Sistem Kejara dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah cara lebih berkesan berbanding mengenakan denda tinggi untuk mendidik pengguna jalan raya di negara ini agar lebih berhemah.

Tiong Lai pernah berkata, jumlah sama ada denda tinggi atau rendah adalah suatu yang subjektif buat setiap rakyat bergantung kepada jumlah pendapatan mereka.