Sudahlah langgar PKPB, lumba haram pula... 108 disaman

Adie Sufian Zulkefli, Salim Aziz
Mei 27, 2020 00:25 MYT
Polis mengeluarkan 108 saman atas pelbagai kesalahan dan turut menyita empat buah motosikal. - Foto Astro AWANI
Sudahlah melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekumpulan penunggang motosikal di sini bertindak lebih berani dengan menyertai perlumbaan haram.
Akhirnya, padah menimpa apabila Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan bertindak menyerbu lokasi perlumbaan mereka di Jalan Baru Pulau Bunting-Ulu Sedaka pada lewat petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar berkata, polis mengeluarkan 108 saman atas pelbagai kesalahan dan turut menyita empat buah motosikal.
“Motosikal disita kerana kesalahan mengubah suai berlebihan dan tidak selamat ditunggang di jalan raya. Polis menyita kenderaan itu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambah beliau, daripada 108 saman dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan itu, empat membabitkan individu bawah umur.
Shahnaz berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan setiap pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Tambah beliau, mereka yang terlibat berdepan tindakan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Menurutnya, operasi bermula pada jam 5 petang sehingga 9 malam itu turut menahan enam remaja perempuan yang dipercayai mengikuti teman lelaki masing-masing bagi menyambut hari raya.
Tambah Shahnaz, operasi berkenaan disertai tiga pegawai dan 19 anggota pelbagai cawangan dari IPD Yan.
Menurutnya, sebanyak empat buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengankutan Jalan 1987 atas kesalahan ubah suai yang berlebihan dan tidak selamat untuk ditunggang di atas jalan raya.
“Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor plat 'fancy' dan juga ubah suai kenderaan,” tambahnya.
Pihak polis turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau keadaan anak-anak mereka terutama golongan remaja.
"Ibu bapa harus peka akan pergerakkan anak-anak bagi memastikan mereka tidak melakukan perkara yang menjadi kesalahan undang-undang," katanya.
#hari raya #ingkar #Kedah #lumba haram #operasi #Ops Samseng Jalanan #PKPB #polis #saman #Shahnaz Akhtar #teman lelaki #ubah suai motosikal #undang-undang #Yan