Cadangan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk menaikkan tambang feri dilihat bakal menyusahkan rakyat, terutama golongan sederhana dan bawahan, di negeri itu.

Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, ia sekali gus membuktikan syarikat yang diberi amanah menjaga sistem pengangkutan itu menderhaka dengan janjinya untuk memberi perkhidmatan dengan harga berpatutan kepada rakyat.

"Ini akibatnya apabila diswastakan, masa mula-mula ambil alih dahulu, kata mereka kononnya mahu membela rakyat.

"Sekarang ada cadangan hendak naikkan harga tiket, ini benar-benar menyusahkan rakyat. Sudahlah ramai orang susah yang guna feri...sekarang mereka hendak naikkan pula harga tiket," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa mengulas cadangan SPPP untuk membuat semakan tarif untuk perkhidmatan ferinya yang bakal menyaksikan peningkatan kadar tambang bagi semua jenis penumpang.

Notis hebahan dengan pekeliling itu telah dikeluarkan pihak SPPP sejak Isnin di Terminal Sultan Abdul Halim Butterworth dan Pangkalan Raja Tun Uda di Georgetown.

Menurut pekeliling itu, kadar tambang yang dicadangkan bagi motosikal bakal dinaikkan daripada RM2 kepada RM3.50, kereta daripada RM7.70 kepada RM9, pejalan kaki daripada RM1.20 kepada RM2, dan basikal daripada RM1.40 kepada RM1.50 sen.

Tegas Musa, cadangan itu hanya akan menimbulkan kemarahan orang ramai jika direalisasikan kelak.

"Saya tidak tahu apa yang naik sekarang. Kalau hendak kata minyak, jatuh...tiba-tiba ada cadangan sebegini.

"Jangan buat rakyat marah, kita nasihatkan jika tidak mahu turunkan harga, sekurang-kurangnya kekalkan harga tiket dan bukan mencadangkan sebarang kenaikan," jelasnya.

Katanya lagi, agensi berkenaan juga harus membuktikan kepada rakyat mereka sentiasa menjiwai kesusahan masyarakat pada saat-saat sebegini.

Perkhidmatan Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di negara ini.

Perkhidmatan feri ini dihubungkan di antara terminal feri Pulau Pinang di Butterworth ke Terminal Feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town.

Perkhidmatan feri di Pengkalan Raja Tun Uda beroperasi bermula pukul 5.40 pagi hingga 1 pagi dan Pengkalan Sultan Abdul Halim bermula pukul 5.20 pagi hingga 12.40 tengah malam.

Pada 2010, perkhidmatan feri 24 jam yang disediakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad ditamatkan.

Keputusan itu dibuat setelah mendapati ia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2.3 juta.