JOHOR BAHRU: Perkampungan Orang Asli di Parlimen Pulai berpotensi dimajukan sebagai lokasi agropelancongan sekali gus dapat membuka ruang penjanaan ekonomi bagi komuniti Orang Asli.

Melihat kepada potensi besar perkampungan itu, calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat berhasrat untuk memajukan penempatan Orang Asli iaitu di Kampung Bakar Batu dan Kampung Sungai Temon, Perling sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di situ.

Menurut Suhaizan kedudukan perkampungan komuniti itu berdekatan dengan sungai sesuai dibangunkan sebagai kawasan agropelancongan dan mampu menarik minat pelancong.

"Kita berhasrat bangunkan kawasan ini, saya difahamkan kerajaan akan membina jeti baharu yang memberi kemudahan kepada penduduk Orang Asli di sini, yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke sini.

"Apabila ada jeti yang cantik, ada bot yang akan bawa pelancong bersiar-siar, kawasan perkampungan yang menarik, ia akan dapat meningkatkan pendapatan penduduk di sini," katanya selepas ziarah kasih di Kampung Bakar Batu di sini hari ini.

Beliau berkata selain keindahan lokasi, keunikan produk kraf tangan dan kepelbagaian juadah tradisi Orang Asli juga dapat diketengahkan serta dipromosi kepada pelancong asing.

Hari ini, Bernama melaporkan komuniti wanita Orang Asli suku kaum Seletar di Kampung Orang Asli Kampung Bakar Batu yang mahu produk kraf tangan unik seperti anting-anting diperbuat daripada sisik ikan dapat dipasarkan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Sementara itu, Tok Batin Seletar di Kampung Orang Asli Kampung Bakar Batu, Kais Kee berkata cadangan menjadikan perkampungan komuniti itu sebagai produk pelancongan disambut baik penduduk.

Beliau berkata cadangan itu membuka peluang kepada penduduk untuk menjana ekonomi seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka yang majoritinya nelayan.

Bagaimanapun beliau berkata wakil rakyat serta pihak terlibat perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalah perumahan di situ selain usaha pemuliharaan keadaan Sungai Skudai yang menjadi lubuk rezeki masyarakat di situ.

"Sebolehnya wakil rakyat baharu nanti, bantu kami menyediakan rumah yang lebih selesa selain memulihkan kawasan sungai di sini dengan usaha menanam semula pokok bakau di sekitar kawasan ini.

"Akibat banyak hutan bakau terjejas, hasil laut juga terganggu sekali gus menjejaskan hasil tangkapan nelayan," katanya kepada Bernama.

Kampung Orang Asli Bakar Batu yang terletak di muara Sungai Skudai menempatkan kira-kira 200 penduduk, manakala Kampung Sungai Temon di muara Sungai Danga dihuni sekitar 150 orang.

-- BERNAMA