KUALA LUMPUR:Suhu sejuk yang dialami negara pada ketika ini disifatkan sebagai suatu keadaan biasa dan bukan luar biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon menjelaskan, cuaca di sesetengah lokasi boleh mencapai sehingga suhu 20 darjah Celsius pada satu-satu masa.

Suhu paling sejuk pernah dicatatkan semasa Monsun Timur Laut ialah pada kadar 15.7 darjah Celsius di Kuala Krai, Kelantan pada tahun 2015.

"Biasanya musim suhu yang terendah di negara kita adalah sekitar awal bulan Februari terutamanya di negeri-negeri Utara dan Pantai Timur Semenanjung. Biasanya boleh mencapai sampai 20 darjah Celsius.

"Kalau kita ingat tahun 2014, 2015 dulu kita pecah rekod sehingga 15.7 di Kuala Krai. Jadi suhu ini adalah suhu yang biasa sahaja setiap tahun bukannya luar biasa, cuma mungkin sebab sebelum ini cuaca agak panas, jadi hujan dan mendung ini sebabkan suhu turun sedikit disamping angin sejuk itu," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Rabu. 

BACA: Malaysia akan sejuk seperti London? Ini jawapan MetMalaysia

Katanya lagi, keadaan musim sejuk ketika ini disebabkan keadaan hujan yang berterusan, cuaca mendung dan angin sejuk yang dibawa dari Utara negara Asia atau Kutub.

"Biasanya bila berlaku keadaan hujan yang berterusan, kita tidak menerima matahari, negara kita berawan dan masa Monsun Timur Laut ini kita juga terima angin sejuk daripada utara negara Asia atau pun dari kutub.

"Masa ini memanglah suhu sedikit rendah berbanding biasa. Namun kalau tidak ada hujan biasanya keadaan biasa sahaja. Suhu sejuk ini berlaku sebab hujan beberapa hari berlaku dan mendung dan suhu turun.