MALAYSIA

Sukan berimpak tinggi perkukuh Port Dickson sebagai destinasi pelancongan sukan

Bernama 09/12/2025 | 04:45 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mustapha Nagoor ketika sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Ketiga Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terus mempergiat pembangunan pelancongan sukan sebagai strategi utama memacu pertumbuhan ekonomi, dengan menekankan promosi Port Dickson sebagai destinasi sukan bertaraf nasional dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Sembilan mempergiatkan pembangunan pelancongan sukan di Port Dickson sebagai strategi pertumbuhan ekonomi.
  • Pelbagai acara sukan berimpak tinggi diadakan sepanjang tahun, termasuk Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 yang menarik peserta antarabangsa.
  • Usaha kerajaan termasuk peningkatan infrastruktur sukan pantai, pemasaran antarabangsa ke pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Eropah, dan Timur Tengah.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mustapha Nagoor berkata sepanjang tahun ini pelbagai acara sukan berimpak tinggi telah dianjurkan di daerah itu, termasuk pertandingan bertaraf antarabangsa dan program komuniti.

Antara acara utama ialah Negeri Sembilan Forest Orienteering Cup 2025 di PD Forest @ Sungai Menyala yang menarik 154 peserta dari sembilan negara, sekaligus meletakkan daerah tersebut sebagai destinasi baharu sukan orienteering di rantau ini.

Mustapha (BN-Palong) menjawab soalan Dr G. Rajasekaran (PH-Sri Tanjung) mengenai usaha kerajaan negeri meningkatkan potensi pelancongan sukan di Port Dickson.

Beliau berkata acara lain seperti Port Dickson Amphibian Race, Army Half Marathon, dan Port Dickson Surfcasting 2025 turut menyumbang kepada kehadiran pelancong sukan, manakala Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melaksanakan pelbagai usaha strategik memperkukuh ekosistem pelancongan sukan.

Kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan khas bagi projek pelancongan dan warisan, menyokong pelaksanaan program sukan berimpak tinggi serta memperkukuh Port Dickson sebagai destinasi utama di dalam negara dan Asia Tenggara.

"Usaha termasuk penyediaan kalendar acara sukan tahunan berfokus pantai, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti sukan pantai, pembangunan komuniti dan tenaga kerja tempatan. Untuk tarikan antarabangsa, program acara sukan luar negara dirancang mengadaptasi model Gold Coast," katanya.

Mustapha menambah, kerajaan negeri memberi fokus kepada strategi pemasaran antarabangsa, menumpukan pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Eropah dan Timur Tengah, yang menunjukkan minat tinggi terhadap aktiviti sukan pantai dan pengembaraan.

Bagi menambah nilai pengalaman pelancong sukan, Port Dickson juga dirancang memperkenalkan konsep "after-sport wellness" melalui penyediaan pusat spa, rawatan fisioterapi dan program kesihatan yang menekankan keseimbangan antara aktiviti sukan dan rekreasi.

-- BERNAMA






#Kerajaan Negeri Sembilan #Port Dickson #destinasi sukan #Tahun Melawat Negeri Sembilan #Mustapha Nagoor