Sukan Komanwel: Malaysia mara ke suku akhir badminton berpasukan campuran

Bernama
Julai 30, 2022 01:00 MYT
Beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See menyumbang mata pertama selepas menewaskan Joel Angus-Katherine Wynter 21-5, 21-12. - Foto Facebook/Badminton Association of Malaysia
BIRMINGHAM: Malaysia melangkah ke suku akhir acara badminton berpasukan campuran selepas menewaskan Jamaica 5-0 dalam saingan Kumpulan D temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 hari ini.
Dalam perlawanan berlangsung di National Exhibition Centre hari ini, beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See menyumbang mata pertama selepas menewaskan Joel Angus-Katherine Wynter 21-5, 21-12 diikuti perseorangan negara Ng Tze Yong mengalahkan Samuel Ricketts 21-12, 21-16.
Pemain perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei meneruskan rentak cemerlang negara apabila mengecewakan Thalia Richardson 21-2, 21-5 untuk mata ketiga.
Beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula melebarkan jurang mata apabila menewaskan gandingan Angus-Ricketts 21-7, 21-11 manakala beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah menewaskan Richardson-Wynter 21-8, 21-2 untuk melengkapkan kemenangan skuad badminton negara.
Malaysia yang mengecewakan Zambia 5-0, akan berdepan Afrika Selatan bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan, esok.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel #badminton #suku akhir #National Exhibition Centre