MALAYSIA

Sukan SEA 2025: Persatuan sukan disaran selesaikan segera isu dalaman

Bernama 03/07/2025 | 10:21 MYT
Hannah berkata, penyelesaian awal terhadap perkara itu sangat penting agar ia tidak menjejaskan tumpuan serta persiapan atlet negara. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Persatuan sukan disaran supaya menyelesaikan segera sebarang isu dalaman yang mungkin timbul sebelum berlangsungnya temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadualkan dari 9 hingga 20 Dis ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata penyelesaian awal terhadap perkara itu sangat penting agar ia tidak menjejaskan tumpuan serta persiapan atlet negara yang bakal bersaing di pentas antarabangsa berkenaan.

"Ketika ini segala persiapan sedang giat dijalankan. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua persatuan sukan sekiranya ada sebarang isu dalaman, segeralah selesaikannya demi memastikan kelancaran dan semangat pasukan negara tidak terjejas.

"Kita tahu masa semakin suntuk menjelang Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini. Justeru, harapan kami agar atlet-atlet negara dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini sebagai persiapan ke arah temasya seterusnya di Kuala Lumpur pada 2027 serta Sukan Olimpik 2028," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Kem Belia @ Rakan Prihatin Tahun 2025 di Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Azura Abidin.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan Abdul Rashid Yaakub sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, Hannah menyifatkan pelantikan itu sangat tepat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam sukan tanah air.

"Abdul Rashid mempunyai latar belakang yang kukuh dalam Majlis Sukan Negara (MSN), termasuk peranannya semasa penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Malah, beliau juga pernah bekerjasama dengan beberapa negeri lain seperti Sarawak. Jadi, kami yakin beliau memahami selok-belok dan cabaran dalam pengurusan acara sukan berskala besar," katanya.

Abdul Rashid, 61, yang juga bekas Ketua Pengarah MSN memegang jawatan CEO MASOC dan Para ASEAN 2027 secara rasmi pada 1 Julai lepas, dan akan memimpin sekretariat utama yang bertanggungjawab menyelaras segala aspek persiapan bagi temasya dwitahunan serantau itu.

-- BERNAMA

#isu dalaman #persatuan sukan #Sukan SEA #fokus atlet #Hannah Yeoh