MALAYSIA

Sukan SEA Thailand 2025: Jumlah kontinjen Malaysia diketahui bulan depan

Bernama 23/08/2025 | 09:27 MYT
Mohamad Norza berkata, jumlah kontinjen dijangka lebih besar berbanding edisi terdahulu di Kemboja, memandangkan Malaysia akan mengambil bahagian dalam 49 jenis sukan. - Bernama
PUCHONG: Jumlah rasmi atlet dan pegawai yang akan terbabit dalam Sukan SEA Thailand hujung tahun ini akan diumumkan pada 1 Sept.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi bayangan bahawa jumlah itu dijangka lebih besar berbanding edisi terdahulu di Kemboja, memandangkan Malaysia akan mengambil bahagian dalam 49 jenis sukan.

"Kita yakin keseluruhan kontinjen termasuk atlet dan pegawai melebihi 1,000 orang. Namun buat masa ini saya tidak dapat memberikan angka tepat kerana belum dimuktamadkan.

"Masih ada persatuan yang sedang menjalankan pemilihan bagi menentukan atlet mereka sama ada disenaraikan di bawah Kategori A atau Kategori B," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Futsal Perpaduan MOM Piala Santokh Singh bawah-18 di sini hari ini.

Pada Sukan SEA Kemboja sebelum ini, kontinjen Malaysia dibarisi 677 atlet dan 277 pegawai melibatkan 34 jenis sukan.

Dalam pada itu, Mohamad Norza menegaskan aspek keselamatan dan kebajikan kontinjen negara akan diberi keutamaan susulan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja sebelum ini.

"Kami bersedia menghantar kontinjen yang kuat dan pada masa sama memastikan keselamatan serta kebajikan atlet terjamin sepenuhnya.

"Keselamatan dan kebajikan atlet serta pegawai adalah keutamaan kami dan tidak akan sesekali dikompromi," katanya.

Untuk rekod, kontinjen negara ke Sukan SEA Thailand akan diketuai bekas ratu renang negara Nurul Huda Abdullah, dengan dibantu tiga timbalan iaitu Datuk Kenny Goh Chee Keong, Nazmizan Mohamad dan Jivan Mohan.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkla.

-- BERNAMA

#Sukan SEA #Thailand #kontinjen malaysia #Mohamad Norza Zakaria #sukan ditandingi