MALAYSIA

Sukar untuk lihat BNPL daripada sudut positif - Belia

Irfan Faruqi 12/12/2025 | 13:52 MYT
Skim BNPL yang kini ditawarkan secara meluas oleh pelbagai platform tidak disertakan dengan pendidikan untuk menggunakan kemudahan tersebut dengan bertanggungjawab. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Sukar untuk melihat skim Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL) daripada sudut yang positif.


Ringkasan AI
  • Skim BNPL dilihat negatif kerana mendorong belia berhutang, berisiko menambah beban hutang sedia ada seperti PTPTN.
  • Tiada pendidikan kewangan khusus untuk penggunaan BNPL, menyebabkan ramai tidak tahu cara bayar semula dengan berdisiplin.
  • Hampir 4,875 rakyat diisytihar bankrap dalam 9 bulan pertama 2025, 60% melibatkan belia bawah 30 tahun, kebanyakannya hutang RM500kRM1 juta.


Demikian pengakuan Ketua Negeri Wilayah Persekutuan Parti Nadi Parlimen Belia, Najwan Abdullah Shahrin yang berkata demikian memandangkan skim berkenaan membuka ruang kepada belia untuk berjinak-jinak dengan hutang.

"Saya lihat ke arah negatif kerana walaupun benar kita boleh beli barangan dahulu dan buat bayaran bulanan sehingga selesai, tetapi secara tidak langsung BNPL ini ajar orang muda erti berhutang.

“Contoh, saya belajar dengan menggunakan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dan akhirnya nanti saya perlu bayar semula hutang (pembiayaan).

“Apabila kita juga guna skim BNPL, maka kita sudah ada dua hutang yang perlu ditanggung. Dengan ada banyak hutang tertunggak, dan kita mahu teruskan kehidupan mewah maka akhirnya kita akan terjerumus (muflis),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.

Dalam temu bual sama, Pegawai Latihan dan Pembangunan ARUS Academy, Muhamad Amir pula berpandangan skim BNPL yang kini ditawarkan secara meluas oleh pelbagai platform tidak disertakan dengan pendidikan untuk menggunakan kemudahan tersebut dengan bertanggungjawab.

“Satu perkara yang kita boleh berikan tumpuan ialah mengenai realiti yang mana kita diajar untuk memohon atau menggunakan fasiliti Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL).

“Tetapi kita tidak diajar untuk bayar semula BNPL. Tidak ada sistem atau inisiatif pendidikan yang ajar kita mengenai pembayaran balik. Ini antara penambahbaikan yang boleh dilakukan,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, Senator Datuk Sivaraj Chandran mendedahkan kira-kira 18 individu diisytiharkan bankrap setiap hari di Malaysia, dengan lonjakan kes melibatkan golongan belia bawah 30 tahun merekodkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan peningkatan kes tahun ini.

Menurutnya, anggaran itu dibuat berdasarkan keseluruhan 4,875 rakyat yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, angka itu menunjukkan trend membimbangkan apabila 71.6 peratus daripada kes melibatkan hutang dari RM500,000 hingga RM1 juta, manakala 20.6 peratus lagi membabitkan hutang RM100,000 hingga RM500,000.


[LANGSUNG] Dialog Anak Muda | 'Fomo & Yolo' punca Gen Z 'Pokai' | 12 Disember 2025



#Belia #Malaysia #muflis #kewangan #literasi kewangan