JITRA: Marah dan kecewa dengan sikap setengah pihak yang mengenakan bayaran tinggi sehingga membebankan keluarga jenazah membuatkan Wahida Hussain, 35, menawarkan diri menjadi sukarelawan untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19.

Wahida mula menyertai kumpulan bantuan badan amal atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Afiz Ayub Foundation bermula Jun lalu dan kini dia telah menguruskan proses memandikan lebih 10 jenazah mangsa COVID-19 secara tayamum di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani tanpa mengenakan sebarang caj.

Pada mulanya, tercetus juga perasaan takut dan bimbang dalam diri Wahida kerana terpaksa menguruskan pesakit COVID sehingga ke proses pengebumian jenazah.

Bagaimanapun, jelas anak ketiga daripada enam adik beradik ini, perasaan simpati dan sedih kepada keluarga jenazah yang terpaksa menunggu lama untuk pengurusan dan pengebumian ahli keluarga yang meninggal akibat COVID-19 menguatkan lagi semangatnya untuk terus melakukan kerja amal itu.

“Saya sudah tayamumkan lebih daripada 10 jenazah pesakit COVID-19. (Menguruskan jenazah) pesakit COVID-19 adalah benda baharu dalam hidup saya.

“Sebelum ini saya ada juga mandikan jenazah biasa… menguruskan jenazah COVID-19 satu pengalaman yang agak mencabar sebab kena tayamum dan pakai PPE (peralatan perlindungan diri) ditambah pula dengan panas dengan suasana di pusat forensik ramai orang dan keadaan yang takutkan (jangkitan) COVID-19," katanya.



Wahida yang juga seorang ahli perniagaan sebelum ini pernah mengikuti kursus pengurusan jenazah di Kuala Lumpur dan dia mengambil peluang ini untuk membantu meringankan bebanan ahli keluarga mangsa daripada mengeluarkan kos pengurusan jenazah yang banyak.

Setiap hari Wahida bersama rakan-rakan lain akan menguruskan lapan jenazah di sekitar Sungai Petani, Yan, Merbok, Sik dan Kubang Pasu sehingga ke liang lahad.

Dalam masa sama, Wahida berharap lebih ramai lagi kaum wanita akan menyertai kerja-kerja amal seperti yang dilakukannya.

“Lebih ramai sukarelawan wanita (diperlukan) untuk sertai mana-mana yayasan pengurusan jenazah percuma supaya kita boleh didik orang di luar sana jangan takut untuk jadi sukarelawan hanya kerana (mangsa) pesakit COVID-19.

“Ini adalah kerana apabila kita menguruskan jenazah pesakit COVID-19, kita berpakaian PPE lengkap dan menjaga SOP (prosedur operasi standard) 100 peratus," ujarnya.

Sementara itu, bagi ketua operasi pengurusan jenazah COVID-19 di Afiz Ayub Foundation, Azizul Johafiezzal Johari, 24, berkata, bermula Mei lalu, pasukannya hanya dianggotai lima sukarelawan.

Jumlah itu, bagaimanapun, jelas beliau, telah meningkat kepada 30 orang.

Katanya, bagi menguruskan lambakan jenazah di Hospital Sultan Abdul Halim, kumpulan sukarelawan ini turut menyediakan lima buah van bertujuan membantu membawa jenazah ke tanah perkuburan.

“Masalah yang dihadapi bukan dari forensik tetapi kekangan pengangkutan, jadi kita ambil inisiatif, bawa lima buah kenderaan jenazah dari Kuala Lumpur ke sini (Kedah) untuk bantu sokong pasukan di sini,” kata Azizul Johafiezzal.