PORT DICKSON: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi memaklumkan bahawa Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah akan mengadakan lawatan ke negara ini minggu hadapan.

Beliau berkata lawatan berkenaan antara lain bagi menandatangani perjanjian termasuk perjanjian pelaburan ke Malaysia yang pastinya memberi impak positif kepada negara.

"Dalam masa lapan bulan saya jadi Perdana Menteri, sudah dua kali Sultan Brunei datang ke Malaysia...kita buat kerja kita, pelaburan itu penting, tak ada pelaburan kita tak ada fulus (wang)," katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Sebelum ini, menurut Anwar, syarikat automotif China, Geely juga telah menghantar surat kepada beliau memaklumkan berkenaan kerjasama pelaburan berjumlah US$10 bilion untuk menjadikan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

"Kalau Perikatan Nasional nak jerit, atau maki, Anwar bohong, tipu, saya nak beritahu surat itu saya boleh edarkan...tengah hari tadi Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu bawa setengah jemaah menteri dia bincang dengan kita termasuk untuk tingkatkan pelaburan dan pelancongan ...ini kerana dasar negara kita yang stabil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) optimis bahawa Negeri Sembilan masih merupakan kubu kuat PH termasuk Dewan Undangan Negeri di Port Dickson yang perlu dikekalkan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ada mantan menteri yang melalak sana-sini tapi tiada sambutan, Port Dickson kubu kita, jaga baik-baik jangan ada usaha memecah-belahkan kita.

"Saya harap di Negeri Sembilan dengan kerjasama rapat antara parti, kita mesti pertahankan kekuatan Negeri Sembilan ini sebagai kekuatan yang penting, asas kepada Kerajaan Perpaduan, kerja kita selamatkan negeri dan negara ini," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam ucapannya berkata parti itu akan sentiasa berjuang berlandaskan Perlembagaan dan memartabatkan hak keistimewaan orang Melayu.

Justeru, beliau berkata orang ramai tidak perlu merasa bimbang dan termakan dengan fitnah kononnya jika ada DAP dalam kerajaan, Bahasa Melayu dan keistimewaan kepada orang Melayu akan terhakis.

"Presiden dan Timbalan Presiden UMNO ada dalam Kabinet, kerana kita tahu negara kita aman dan damai dan mesti memberikan kerjasama... kalau soal Bahasa Melayu, saya tidak teruk, SPM A1, saya bangga walaupun saya anak Cina," katanya.

-- BERNAMA