MALAYSIA

Sultan Brunei hubungi PM Anwar, doakan kesihatan

Astro Awani 04/11/2025 | 08:45 MYT
Anwar berkata, Sultan Hassanal Bolkiah bertanya khabar mengenai kesihatan dan mendoakan kesejahteraan beliau pada tengah hari tadi. - Gambar/ PMO
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang berkenan bertanya khabar mengenai kesihatannya.

Dalam perkongsian di akaun Facebook rasminya pada Selasa, Anwar berkata Sultan Hassanal Bolkiah turut mendoakan kesejahteraan beliau.

“Tengah hari tadi saya menerima panggilan telefon daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Baginda dengan penuh takzim bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya.

“Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Tuanku,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut mendoakan kesejahteraan Sultan Hassanal Bolkiah.

“Saya turut mendoakan agar Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya.


Pada 2 November Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa pasukan perubatan Anwar menasihatinya agar berehat akibat mengalami sakit belakang, yang menyebabkan pergerakannya terbatas.

Pagi tadi, beliau kembali melaksanakan tugas apabila menghadiri sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

#Anwar Ibrahim #Brunei #Sultan Hassanal Bolkiah #Kesihatan Perdana Menteri