MALAYSIA

Sultan Brunei keluar hospital, pembedahan berjalan lancar

Harits Asyraf Hasnan 22/01/2026 | 03:55 MYT
Sultan Hassanal Bolkiah merakamkan penghargaan kepada rakyat Brunei dan komuniti antarabangsa yang telah mendoakan kesejahteraan serta kesembuhan baginda. - Foto media sosial tmski
KUALA LUMPUR: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah dibenarkan keluar daripada Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) di Bandar Seri Begawan pada Rabu selepas menjalani pembedahan penggantian lutut kanan sepenuhnya.

Pembedahan tersebut dilaporkan dilakukan pada Ahad lalu.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Isteri, Pengiran Anak Saleha, serta ahli-ahli kerabat diraja.

Sebelum baginda meninggalkan pusat perubatan berkenaan, bacaan doa selamat dibaca dengan dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Datuk Paduka Seri Setia Dr Awang Abdul Aziz Juned.

Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri.

Memetik laporan media rasmi RTB, Sultan Hassanal Bolkiah merakamkan penghargaan kepada rakyat dan penduduk Brunei Darussalam, sama ada di dalam mahupun di luar negara, termasuk para pelajar dan komuniti antarabangsa, yang telah mendoakan kesejahteraan serta kesembuhan baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan atas ucapan dan perutusan daripada ketua-ketua negara dan kerajaan, serta ahli keluarga diraja sepanjang tempoh rawatan baginda.

Selain itu, Sultan Hassanal Bolkiah turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan, pegawai dan kakitangan Pusat Perubatan Jerudong Park atas penjagaan dan rawatan yang diberikan sepanjang baginda berada di sana.






#Sultan Hassanal Bolkiah #Brunei #doa selamat #Pembedahan #Pusat Perubatan Jerudong Park