KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali, iaitu darjah kebesaran awam tertinggi Kerajaan Jordan.
Darjah kebesaran itu dikurniakan oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara, di sini, selepas pertemuan empat mata antara Sultan Ibrahim dan Raja Abdullah II di Dewan Seri Negara.
Menurut Istana Diraja Hashemite, Darjah Kebesaran Al Hussein Ibn Ali dianugerahkan kepada raja, putera dan ketua negara sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan mereka.
Darjah kebesaran itu merupakan antara anugerah diraja Jordan yang dikurniakan kepada tokoh terkemuka antarabangsa serta individu yang diiktiraf atas pencapaian dan sumbangan mereka.
Raja Abdullah II kini dalam rangka lawatan negara selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam, atas jemputan Sultan Ibrahim.
-- BERNAMA