[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Sultan Ibrahim kongsi kenangan Kembara Mahkota Johor 2006

Ernalisa Othman 18/06/2025 | 03:50 MYT
Gambar kenangan Sultan Ibrahim (kanan) bersama dua putera baginda iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (kiri) dan Almarhum Tunku Abdul Jalil semasa menyertai Kembara Mahkota Johor 2006. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofea berkenan berkongsi beberapa keping gambar kenangan sempena Kembara Mahkota Johor 2006 menerusi laman Facebook rasmi baginda, pada Isnin lalu.
Menerusi hantaran tersebut, kesemua gambar dimuat naik dalam sebuah album peribadi yang memaparkan detik-detik bersejarah program tahunan yang cukup sinonim dengan keluarga Diraja Johor itu.
Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, program Kembara Mahkota Johor telah mula dianjurkan sejak tahun 2001, ketika baginda masih bergelar Tunku Mahkota Johor.
Kembara itu bukan sekadar simbol hubungan erat antara rakyat dan raja, malah membuktikan kesanggupan baginda mengenepikan protokol bagi mendekati rakyat dalam suasana santai dan mesra.
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut dirancang sepanjang program kembara, melibatkan penyertaan aktif keluarga Diraja, sekali gus memperlihatkan komitmen baginda terhadap kesejahteraan rakyat jelata.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim turut bertitah akan meneruskan inisiatif serupa menerusi Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan, bagi meninjau kehidupan rakyat secara lebih dekat.
Baginda turut merancang untuk mengagihkan zakat kepada golongan miskin dan asnaf sepanjang kembara tersebut, sebagai salah satu usaha memperkukuh peranan institusi Diraja dalam aspek kebajikan.
Perkara itu dizahirkan baginda semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025, awal bulan ini.
#KMJ #Sultan Ibrahim #santuni rakyat #Kembara Mahkota