MALAYSIA

Sultan Ibrahim lakar sejarah sebagai Agong pertama lakukan Lawatan Negara ke Rusia

Astro Awani 02/08/2025 | 00:50 MYT
Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik sejak 1967. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini atas jemputan Presiden negara itu, Vladimir Putin.

Seri Paduka Baginda melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik sejak 1967.

Istana Negara dalam kenyataan yang dikongsi di halaman Facebook Sultan Ibrahim berkata, lawatan itu juga melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.

“Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuhkan hubungan dua hala sedia ada, malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat,” kata Istana Negara dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Semasa berada di Moscow, Yang di-Pertuan Agong akan diterima Presiden Putin dalam satu istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti satu pertemuan rasmi di antara kedua-dua ketua negara.

Sultan Ibrahim juga bakal berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Rusia.

Kenyataan Istana Negara juga memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut perkenan untuk mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.

"Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk berangkat mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada 8 Ogos 2025.

"Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.

"Di Kazan, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk menerima menghadap Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan dan pemasangan helikopter," jelas kenyataan Istana Negara lagi.



#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Lawatan Negara #Agong melawat Rusia #Presiden Vladimir Putin