Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Sabtu berkenan melancarkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor bagi membantu pesakit kanser di negeri ini.

Turut berangkat ke majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu malam tadi, Permaisuri Johor merangkap Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap anggota Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Datuk Ismail Karim, barisan exco kerajaan Johor dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima cek sumbangan berjumlah RM550,000 daripada kerajaan Johor dan syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi mengisi tabung yayasan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sumbangan sebanyak RM250,000 disampaikan Mohamed Khaled bagi pihak kerajaan Johor, RM200,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) Abd Razak Mohd Yusoff bagi pihak KPRJ dan RM100,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Johor Holdings Sdn Bhd (YPJ) Elias Hasran bagi pihak YPJ.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah bertitah yayasan berkenaan merupakan titik permulaan bagi membantu mereka yang menghidap kanser, sekali gus memberi harapan kepada golongan terbabit terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.

"Walaupun Almarhum Tunku Laksamana Johor (Almarhum Tunku Abdul Jalil) tidak bersama kita, yayasan ini dapat jadikan impian Almarhum satu kenyataan," titah baginda, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil menyalurkan sumbangan kepada yayasan tersebut.

Ismail dalam ucapan beliau pula berkata yayasan itu diilhamkan sendiri oleh Almarhum Tunku Abdul Jalil sewaktu hayatnya, sebelum diperbadankan pada 26 Jun tahun lepas.

Beliau berkata objektif yayasan itu adalah bagi membantu dan memudahkan pesakit kanser serta keluarga mereka.

"Semenjak ditubuhkan, yayasan ini sudah mengumpul dana, namun demi memastikan kelangsungannya, sumbangan daripada masyarakat terutama pihak korporat amat diharapkan," katanya, sambil berharap penubuhan yayasan itu diberkati Allah.

Almarhum Tunku Abdul Jalil merupakan anakanda keempat daripada enam beradik dan putera kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada 5 Disember tahun lepas di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, akibat kanser hati.