Sultan Ibrahim miliki lebih 200 koleksi tongkat

Siti Nur Aqilla Omar
November 8, 2019 07:52 MYT
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama sebahagian daripada 200 tongkat pelbagai reka bentuk dan saiz yang ada dalam koleksi baginda. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memiliki koleksi lebih 200 tongkat pelbagai reka bentuk dan saiz.
Kenyataan di laman Facebook baginda menyebut, Sultan Ibrahim bukan sahaja gemar memasak di waktu lapang, tetapi turut mempunyai hobi mengumpul tongkat kayu.
Tongkat-tongkat kayu itu diperbuat daripada kayu cendana, giam, kayu landasan keretapi dan juga papan lantai kayu istana-istana lama.
“Ramai yang bertanya mengapa saya memegang tongkat, sebenarnya mengumpul tongkat kayu adalah hobi saya sejak dahulu lagi.
“Saya mempunyai koleksi lebih 200 tongkat kayu pelbagai rekabentuk dan saiz yang dihasilkan secara tempatan serta mempunyai lambang “SI”.
"Pada masa sama, saya juga mempunyai pelbagai koleksi ‘tongkat kuasa’,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga sering meluangkan masa membersihkan tongkat-tongkat berkenaan yang disusun secara kemas serta teratur.
#Istana Pasir Pelangi #kayu cendana #kayu landasan keretapi #koleksi tongkat #Royal Press Office #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor #tongkat kayu