BATU PAHAT: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Anugerah berkenaan sebagai menghargai sumbangan dan kecemerlangan Sultan Ibrahim dalam kepemimpinan baginda kepada UTHM, Bangsa Johor dan negara.

Sultan Ibrahim menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah itu daripada paduka anakanda Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail yang juga Canselor UTHM pada sidang khas hari pertama Istiadat Konvokesyen Ke-23 di Dewan Sultan Ibrahim, Kampus UTHM di sini.

Berangkat sama, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

Menurut kenyataan UTHM, Sultan Ibrahim merupakan Canselor UTHM dari 2002 hingga 2022, sebelum Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu pada 3 Dis tahun lepas.

Selama hampir 20 tahun Sultan Ibrahim sebagai Canselor UTHM, baginda meletakkan nama universiti di persada antarabangsa melalui sokongan kewangan dan kerjasama bersama institusi pendidikan serta industri antarabangsa.

Sultan Ibrahim juga memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor dengan menonjolkan minat dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi kejuruteraan mekanikal.

Pada ulang tahun ke-25 UTHM, baginda memberikan sumbangan besar kepada universiti berkenaan dengan menyokong pengembangan program inovatif antaranya Aeronautik termasuk mengurniakan pesawat "Lake Renegade LA-270" untuk kegunaan program berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim dalam satu kenyataan berasingan berkata seramai 4,837 graduan merangkumi pelbagai peringkat pengajian diraikan dalam Istiadat Konvokesyen UTHM ke-23 yang berlangsung mulai hari ini hingga Khamis (7 Dis).

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 135 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana (314), sarjana muda (3,543) dan diploma (845).

"Tunku Mahkota Johor turut berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dr Ismail Abdul Rahman bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Terdapat juga anugerah lain seperti Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Sultan Ibrahim, Anugerah Canselor, Anugerah Tesis Terbaik Pascasiswazah (Ijazah Kedoktoran), Anugerah Tesis Terbaik Pascasiswazah (Sarjana Penyelidikan), Anugerah Tan Sri Dato' Paduka Hajjah Aishah Ghani dan Anugerah Akademik Yayasan UTHM," katanya.

Menurut beliau selain itu, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik, Anugerah Khas Alumni UTHM (Kategori Akademik), Anugerah Kecemerlangan Lembaga Jurutera Malaysia, Anugerah UTHM Holdings dan Anugerah Wakaf dan Endowmen pula akan diberikan kepada graduan terpilih.

"Dengan berlangsungnya Istiadat Konvokesyen UTHM ke-23 ini maka jumlah alumni UTHM mencatatkan penambahan menjadikan bilangannya sebanyak 57,895 orang," katanya.

-- BERNAMA