MALAYSIA

Sultan Ibrahim tinjau industri ketenteraan Arab Saudi

Bernama 05/11/2025 | 10:14 MYT
Sultan Ibrahim disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Thamer Al-Muhid yang menyampaikan sembah taklimat mengenai projek dan inovasi syarikat berkenaan. - Foto JAPEN
RIYADH: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ni melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) di sini bagi meninjau perkembangan terkini dalam teknologi pembuatan ketenteraan negara itu.


Ringkasan AI
  • Sultan Ibrahim melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) untuk tinjau perkembangan teknologi pembuatan ketenteraan negara itu.
  • SAMI ditubuhkan pada 2017 dengan matlamat membangunkan sistem pertahanan termaju Arab Saudi, sejajar dengan Wawasan Saudi 2030.
  • Lawatan Sultan Ibrahim ke Arab Saudi menunjukkan komitmen Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang.


Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Industri Aeroangkasa Alsalam SAMI disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Thamer Al-Muhid yang menyampaikan sembah taklimat mengenai projek dan inovasi syarikat berkenaan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.

Sultan Ibrahim diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dan Duta Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman.

SAMI ditubuhkan pada 2017 bagi mempertingkatkan strategi industri pertahanan Arab Saudi dengan menyetempatkan pembuatan ketenteraan dan membangunkan sistem pertahanan termaju, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030.

Operasi SAMI meliputi lima unit sektor utamanya iaitu penerbangan dan angkasa, sistem pertahanan, elektronik canggih, sistem darat dan sistem marin.

Sejak penubuhannya, SAMI telah menghasilkan beberapa pencapaian utama yang bertujuan menyumbang kepada mampu diri Arab Saudi dalam industri ketenteraan menerusi teknologi termaju dan bakat terbaik negara itu.

Sultan Ibrahim kini dalam lawatan negara empat hari ke Arab Saudi.

Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan negara itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkukuh hubungan dua hala, di samping memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.

Arab Saudi ialah rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (AS$9.79 bilion).

-- BERNAMA








#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi #lawatan rasmi #terkini