[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
NATIONAL

Sultan Ibrahim zahir kepercayaan Malaysia dan China akan perkasa kerjasama

Pia Ernadya 16/04/2025 | 06:15 MYT
Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran Bahasa antara kedua-dua negara.- Kredit Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kepercayaan yang Malaysia dan China akan terus memperkasa kerjasama bersama, meskipun wujud pelbagai jurang geopolitik seantero dunia.
Sultan Ibrahim bertitah, ini kerana Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian serta menegakkan prinsip hormat dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi termasuk China.
"Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Xi Jinping, Presiden Republik Rakyat China, di Istana Negara di ibu negara pada Rabu sempena lawatan negara ke Malaysia.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Kerajaan China untuk mempromosikan pertukaran Bahasa antara kedua-dua negara.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam perkongsian terbaharu di laman sosial Facebook pada Rabu.
“Jumlah pertukaran pelajar antara negara kita telah meningkat dan kita berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi penuntut kita ke China untuk bertukar ilmu kebudayaan seiring dengan pembelajaran mereka.
“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah Sultan Ibrahim.
#Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Xi Jinping #Malaysia Madani #pertukaran budaya dan integrasi ekonomi