Sultan Johor biayai kos baik pulih wad HSA yang terbakar semalam

Bernama
Jun 29, 2020 02:00 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, petang semalam. -Gambar fail
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar, petang semalam.
Baginda bertitah akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan segera dengan kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
"Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bersama-sama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.
"Selalunya, kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera," titahnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini.
Sumber Facebook officialsultanibrahim
Semalam, rakyat Johor dikejutkan lagi dengan insiden kebakaran di Hospital Sultan Aminah (HSA) namun kali ini melibatkan Wad Perubatan Perempuan 1 yang terletak tidak jauh dari Klinik Kesihatan Mahmoodiah.
Kejadian bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan, berjaya diselamatkan.
Tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah
Sebelum ini, HSA pernah mengalami kebakaran iaitu pada Oktober 2016 melibatkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang mengakibatkan enam pesakit maut.
-- BERNAMA
#Hospital Sultanah Aminah #HSA #kebakaran #Sultan Ibrahim #Sultan Johor #Wad Perubatan Perempuan