Sultan Johor mahu pihak berkuasa tingkatkan rondaan di laut

Bernama
April 20, 2019 07:19 MYT
Sultan Ibrahim turut bertitah agar pihak berkuasa mengenakan tindakan serta hukuman berat terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan itu. - Gambar fail/Bernama
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan pihak berkuasa agar mempertingkat serta memperketatkan rondaan di sekitar perairan Johor bagi mengelakkan pembuangan sisa minyak kapal yang mengakibatkan pencemaran laut.
Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook rasmi baginda bertitah tindakan berkenaan perlu kerana kegiatan tersebut akan memberi pelbagai kesan negatif kepada laut dan juga hidupan marin selain turut menjejaskan pendapatan golongan nelayan.
"Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan rondaan bagi mencegah aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki kerana ia akan memberi pelbagai kesan negatif," titah baginda yang merujuk kepada kejadian tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di Kota Tinggi baru-baru ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah agar pihak berkuasa mengenakan tindakan serta hukuman berat terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan itu.
Media baru-baru ini melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tompokan tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin sepanjang kira-kira 10 kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki.
-- BERNAMA
#kawalan di laut #pembuangan sisa minyak #pencemaran #perairan johor #pihak berkuasa #rondaan di laut #sisa minyak kapal #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor #tanjung balau