[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Sultan Kedah berangkat ke istiadat perbarisan kehormatan sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-83

Bernama 22/06/2025 | 03:20 MYT
Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberi tabik hormat kepada perbarisan kawalan kehormat. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83 di Dataran Medan Bandar di sini hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Istiadat itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Seri Norizan Khazali serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Seramai 103 anggota dan tiga pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terbabit dalam perbarisan itu yang diketuai oleh Mejar Muhammad Nasrullah Abdullah.
Pegawai Pembawa Panji-panji pula ialah Leftenan Muda Muhammad Alif Izzudin Nasirudin, manakala Sarjan Mejar Rejimen Panji-Panji ialah Pegawai Waran 1 Hermi Bakry.
Kawalan Kehormatan Utama diiringi Pancaragam Pusat RAMD di bawah pimpinan Kapten Muhamad Fauzee Japar dan dibantu Pegawai Waran 2 Aliff Farhan Hashim.
Sementara itu, pada tahun ini juga diadakan acara terbang lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-83 oleh dua pesawat EC 120B dari Institut Penerbangan (INSPEN) 2 dan lima pesawat PC-7 MK2 dari INSPEN 1.
Kawalan kehormatan turut diiringi 21 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) pimpinan Mejar Hafizan Md Ghani dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) Kem Sungai Buluh, Selangor.
-- BERNAMA
#Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah #Ulang Tahun Keputeraan #Dataran Medan Bandar #perbarisan