YAN: Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah kemasukan pelancong ke Taman Laut Pulau Payar perlu dihadkan pada jumlah minimum sahaja dalam seminggu bagi menjaga khazanah alamnya.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Pulau Payar bagi melihat status semasa pulau berkenaan pada Khamis.

Sehubungan itu, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kerajaan Negeri Kedah akan memelihara taman di Langkawi itu bagi mengekalkan ekosistem terumbu karang serta flora dan fauna yang terdapat di situ.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Laut untuk mengekalkan keindahan pulau tarikan pelancong itu demi generasi akan datang.

"Menerusi titah tuanku, pengunjung perlu mempunyai kesedaran menjaga khazanah alam. Kemasukan pelancong yang tinggi memberikan tekanan kepada kepelbagaian hidupan marin di pulau tersebut.

"Kehidupan marin di Pulau Payar tak ada di tempat lain, hanya ada di Pulau Payar sahaja. Ia dipanggil gugusan kepulauan Pulau Payar. Ada Pulau Kaca, Pulau Lembu, Pulau Payar sendiri dan Pulau Segantang.

"Semua tempat ini kaya dengan kehidupan marin yang perlu dikawal," katanya.

Tambahnya, ekosistem yang telah wujud ribuan tahun di Pulau Payar yang kaya dengan khazanah dasar laut itu wajar dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Foto ihsan Pejabat SUK Kedah

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengiringi Sultan Sallehuddin berangkat ke Pulau Payar yang mempunyai keluasan 31.2 hektar dan menyempurnakan gimik perasmian Terumbu Ikonik Pulau Payar.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit, sebelum ini jumlah kemasukan pelancong ke taman laut itu mencecah 800 orang setiap hari.

“Kemasukan yang tinggi tersebut akan memberikan tekanan kepada biodiversiti marin,” katanya. 

Foto ihsan Pejabat SUK Kedah