Skip to main content

Malaysia

Sultan Mizan mahu Aidilfitri jadi jambatan perkukuh perpaduan

KUALA TERENGGANU, 14 April -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Baginda bertitah bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan tetapi medan menyemai nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam dan memperkukuh ukhuwah sesama manusia. - Foto fail/BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan  sambutan Aidilfitri dijadikan jambatan untuk mengukuh perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan masyarakat pelbagai bangsa di negeri ini.

Dalam perutusan sempena Aidilfitri, baginda bertitah bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan tetapi medan menyemai nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam dan memperkukuh ukhuwah sesama manusia.

Advertisement

"Betapa indahnya suasana sambutan Aidilfitri yang dihadiri oleh sahabat handai, kerabat dan keluarga berlainan bangsa dan agama. Amalan ini mengambil semangat daripada kata-kata hikmah isteri Rasulullah SAW, Saiditina Aisyah RA yang bermaksud  'ziarahlah sekali-sekala, nescaya kasih sayang sesama kami akan bertambah'.

"Tradisi sambutan Aidilfitri di tanah air kita bukan sekadar menunaikan ketaatan kepada Allah, tetapi turut memancarkan keindahan adat resam tempatan," titah baginda.

Bagaimanapun, dalam umat Islam menyambut kegembiraan, Sultan Mizan turut menitahkan agar rakyat yang berkemampuan peka serta menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.

Baginda bertitah rakyat mengambil peluang tersebut untuk melipat gandakan pahala di samping memberi peluang kepada golongan miskin merasai kemeriahan hari raya.

"Dalam kita berhari raya dan bersuka ria, janganlah dilupa yang kurang berkemampuan. Ambillah peluang ini untuk menyantuni serta membantu sekadar kemampuan agar mereka juga dapat merasakan kemeriahan hari raya.

"Semoga dengan keprihatinan kita, ia dapat memberi sinar untuk mereka terus berjuang mengharungi kehidupan ini," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan juga menasihatkan rakyat menyambut Aidilfitri dalam keadaan bersederhana, ziarah-menziarahi bagi menyemarakkan serta mengukuhkan silaturahim.

-- BERNAMA

 

TAG: Aidilfitri, Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, titah, perpaduan

 

Must Watch Video