MALAYSIA
Sultan Nazrin berangkat ke majlis hari raya peringkat negeri

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak 2025 di Stadium Indera Mulia.
- Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menekankan tanggungjawab rakyat Malaysia untuk menyatukan dan mendamaikan, terutama semasa musim perayaan.
- Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah tradisional yang disediakan.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum memeriahkan sambutan dan menikmati pelbagai juadah yang disediakan antaranya sate, kebab, nasi himpit, kuetiau, ketupat, lemang, rendang, laksa, apam lenggang dan minuman.
Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menyatukan dan mendamaikan.
"Setiap daripada kita bertanggungjawab untuk menyalakan kembali semangat perpaduan supaya ia tidak dibiarkan kelam ditelan api permusuhan," katanya.
Beliau berkata musim perayaan adalah saat untuk menautkan kembali hati bagi menyuburkan kembali semangat kekitaan.
Ini kerana katanya kebelakangan ini, masyarakat sering sahaja berhadapan bermacam insiden dan episod yang menggoncang semangat perpaduan.
"Lebih malang, setiap isu yang timbul tidak lagi dibicarakan mengikut hikmah ratif keilmuan sebaliknya ditanggapi dengan emosi dan prejudis mengikut naratif agama dan perkauman."
"Sehinggakan polemik dan perdebatan yang timbul sering sahaja mencetuskan prasangka dan kesangsian. Satu demi satu naratif kebencian dibina supaya masyarakat mudah saling curiga mencurigai."
"Lebih membimbangkan, suara-suara kebencian ini disambut oleh generasi muda yang tidak sempat merasai keindahan perpaduan sebenar, lalu tanpa segan silu menuturkan bahasa permusuhan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami