[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Sultan Nazrin berkenan hadiri eksesais LEMBING SAKTI 2025

Bernama 28/07/2025 | 08:00 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat ke Eksesais LEMBING SAKTI 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, hari ini. - Foto Bernama
LUMUT: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menghadiri Eksesais LEMBING SAKTI 2025 berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri eksesais di Lapang Sasar Tanjung Hantu.
  • Majlis disertai oleh pemimpin negeri dan wakil diplomatik termasuk Duta AS ke Malaysia.
  • Demonstrasi tembakan roket secara langsung dipersembahkan sebagai simbol kesiapsiagaan.


Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Pada majlis berkenaan, baginda berdua diberikan taklimat keselamatan diikuti sesi bergembar serta demonstrasi tembakan roket secara langsung.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan serta Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan.

Tentera Darat Malaysia memaklumkan keberangkatan baginda berdua mencerminkan sokongan padu institusi diraja terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara.

"Eksesais LEMBING SAKTI 2025 membuktikan keupayaan taktikal serta komitmen berterusan Angkatan Tentera Malaysia dalam memperkukuh kesiapsiagaan tempur dan keupayaan pertahanan negara.

"Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh jaringan kerjasama pertahanan serantau melalui penglibatan negara sahabat, dalam menjamin kestabilan serta keselamatan strategik di rantau ini, " menurut kenyataan itu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan bergambar bersama barisan tetamu kenamaan ketika baginda berdua berangkat ke Eksesais LEMBING SAKTI 2025 yang berlangsung di Lapang Sasar Tanjung Hantu, hari ini. - Foto Bernama


Antara objektif utama eksesais tersebut adalah menguji kesiagaan tempur dan keberkesanan sistem senjata artileri roket serta meningkatkan keupayaan kerjasama antara agensi dalam operasi gabungan darat-laut-udara.

Eksesais tersebut juga berperanan sebagai platform pendedahan terhadap taktik dan prosedur terkini dalam penggunaan High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS) di samping pelaksanaan Complete Round Proof (CRP) oleh 40 Markas Kejuruteraan Peluru Kor Ordnans Diraja (MKP KOD) bersama pihak Institut Pendidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Eksesais tersebut melibatkan penggunaan peluru berpandu SS-30 dan SS-40 oleh pasukan Briged Artileri Roket, serta pelibatan sistem persenjataan canggih seperti Artillery Saturation Rocket System (ASTROS), HIMARS, Artillery Hunting Radar (ARTHUR), Unmanned Aircraft System (FLYEYE) dan turut melibatkan KD MAHAWANGSA.

Ia turut menyaksikan kerjasama strategik antara Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Gerakan Marin serta pelbagai agensi awam lain.

-- BERNAMA




#Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah #Eksesais LEMBING SAKTI 2025 #Tuanku Zara Salim