NATIONAL
Sultan Nazrin berkenan rasmi JPN Daerah Larut Matang dan Selama

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tiga,kiri) berkenan menyempurnakan perasmian bangunan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Larut Matang dan Selama, hari ini. - Foto Bernama
TAIPING: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Larut Matang dan Selama, di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Perasmian Bangunan JPN oleh Sultan Perak: Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan bangunan baharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Larut Matang dan Selama.
- Sejarah & Kemudahan Pejabat JPN: Pejabat ini merupakan gabungan dua pejabat asal dan didirikan dengan seni bina korporat di kawasan seluas 40,468 meter persegi dengan peruntukan RM10.5 juta.
- Peningkatan Perkhidmatan kepada Rakyat: Jumlah permohonan di JPN meningkat 40% pada 2024, menunjukkan kepentingan fasiliti baharu dalam menyediakan perkhidmatan lebih cekap.
Sebaik Sultan Nazrin menyempurnakan gimik perasmian dan menandatangani plak, hadirin seterusnya dipersembahkan dengan persembahan montaj JPN.
Usai majlis perasmian itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan melawat pameran evolusi JPN, ke majlis santapan serta melawat bangunan pejabat berkenaan sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, Shamsul Anuar dalam sembah ucapannya berkata JPN Daerah Larut Matang dan Selama merupakan satu daripada 20 pejabat yang beroperasi di Perak.
Beliau berkata pejabat itu merupakan gabungan daripada pejabat asal yang beroperasi di bangunan Wisma Persekutuan Taiping sejak 1986 dan pejabat JPN Cawangan Kamunting yang beroperasi sejak 2004, dengan kedua-dua pejabat itu telah melalui proses rasionalisasi sebelum digabungkan.
Menurut Shamsul Anuar, bangunan pejabat dengan seni bina menarik dan berimej korporat berkenaan didirikan di kawasan seluas 40,468 meter persegi bagi memberi kemudahan lebih baik untuk rakyat dengan nilai RM10.5 juta melalui peruntukan Rolling Plan keempat Rancangan Malaysia ke-11.
"Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2024, jumlah penduduk bagi kawasan Daerah Larut Matang dan Selama telah meningkat 14 peratus iaitu 313,400 orang berbanding 269,600 pada 2020.
"Projek pembinaan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Larut Matang dan Selama dimulakan pada 2 Sept 2021 dan telah siap sepenuhnya pada 22 April 2024," katanya.
Shamsul Anuar berkata Majlis Penyerahan Bangunan JPN Daerah Larut Matang dan Selama oleh pihak Jabatan Kerja Raya Perak kepada JPN telah diadakan pada 21 Mei tahun lepas dan mula beroperasi pada 4 Jun 2024.
Beliau berkata lokasi yang dipilih adalah sangat strategik kerana berhampiran dengan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta faktor geografi.
"Pada 2024, JPN Daerah Larut Matang dan Selama telah menerima sebanyak 69,740 permohonan berbanding hanya 41,804 pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan sebanyak 40 peratus ini membuktikan bahawa perancangan JPN menambah baik fasiliti untuk keselesaan rakyat adalah sebagai langkah yang tepat dalam menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan efisien," katanya.
Kemudahan yang disediakan di bangunan pejabat JPN Daerah Larut Matang dan Selama antaranya ialah 93 lot parkir kereta, 25 lot parkir motosikal, tandas termasuk untuk orang kurang upaya, surau serta ruang menunggu dengan 132 tempat duduk dan sebuah bilik untuk upacara perkahwinan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami