IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A'fifullah Shah dan Raja Di Hilir Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 10.15 pagi disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dzulkefly dalam sembah ucapannya berkata dengan wujudnya KWKK, HRPB menjadi antara tiga hospital terbesar di Malaysia selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang.

Beliau berkata hospital berkenaan mempunyai kapasiti 1,394 katil, 22 dewan bedah, 33 katil unit rawatan rapi dewasa.

Katanya ia turut dilengkapi 10 katil unit rawatan jantung, 12 katil Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) dan 24 katil unit rawatan neonatal.

"Kompleks ini dibina dengan kos sebanyak RM237 juta di atas tapak yang berkeluasan 14,671 meter persegi di bawah peruntukan RMK-10.

"Ini merupakan satu peruntukan yang besar dalam perbelanjaan sebuah hospital bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan secara optimum kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan negeri Perak khususnya," katanya.

Dzulkefly berkata kompleks tersebut menawarkan perkhidmatan kesihatan daripada tiga jabatan utama iaitu Jabatan Kardiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi yang dilengkapi dengan kemudahan sebanyak 404 buah katil, enam dewan bedah dan 304 lot parkir untuk kegunaan kakitangan dan orang awam.

Selain itu, katanya kompleks itu juga menyediakan tiga perkhidmatan sokongan iaitu perkhidmatan Radiologi, Farmasi dan Unit Bekalan Bahan Steril bagi menyokong kelangsungan penyediaan perkhidmatan di bangunan tersebut.

Dalam pada itu Dzulkefly berkata Perak kini mempunyai 15 hospital, lima daripadanya adalah hospital berpakar, 88 buah Klinik Kesihatan, 73 Klinik Pergigian, 10 Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, 222 Klinik Desa dan 18 Klinik Komuniti.

"Seiring dengan perkembangan dunia perubatan, pihak kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan bagi memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Selain itu katanya Kementerian Kesihatan juga berusaha ke arah menyediakan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan saksama, berkualiti tinggi, mudah dicapai dengan kos berpatutan serta mampan untuk jangka masa panjang bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat, sepertimana digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan.

-- BERNAMA