IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat malam tadi merasmikan Masjid Al-Muhajirin, Kampung Ulu Chepor, Chemor di sini.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8. 20 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menarik tirai sebagai simbolik perasmian masjid itu sebelum menyertai takbir raya sempena Aidiladha dan menunaikan solat Isyak berjemaah bersama kira-kira 400 jemaah.
Masjid Al Muhajirin dibina pada 2018 itu telah mula digunakan sepenuhnya sejak Mac 2025.
Masjid berkenaan dibina dengan kos RM6 juta di atas tanah seluas 1.9 hektar dan mampu menampung sehingga 1,200 jemaah pada satu-satu masa.
Mengangkat konsep lestari, kawasan masjid turut ditanam dengan pelbagai tanaman termasuk kelapa, matoa dan serai.
-- BERNAMA