Sultan Nazrin berkenan sampaikan Anugerah Merdeka

Ridauddin Daud
November 26, 2021 11:15 MYT
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan menyampaikan trofi anugerah kepada Pemenang Anugerah Merdeka 2020 Kategori Pencapaian Akademik Luar Biasa Profesor Dr Ng Kwan Hoong (kanan). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada sembilan penerima Anugerah Merdeka 2020 dan Geran Anugerah Merdeka 2021 di ibu kota pada Jumaat.
Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja dan Pengerusi Amanah Anugerah Merdeka berangkat ke majlis berkenaan dengan diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Dalam majlis tersebut, lima anak muda Malaysia dipilih sebagai penerima Geran Anugerah Merdeka 2022 Penempatan Antarabangsa.
Mereka ialah Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar dan Dr Aini Hasanah Abd Mutalib yang menerima geran di bawah kategori Alam Sekitar.
Bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi pula, penerimanya ialah Ir Dr Freddy Tan Kheng Suan, Jessica Ooi Sui Ying dan Prof Madya Dr Nur Adlyka Ainul Annuar.
Manakala, empat penerima Anugerah Merdeka 2020 ialah Majlis Kanser Nasional (Makna), South-East Asia Rainforest Research Partnership (SEARRP), pakar fizik, Prof Dr Ng Kwan Hoong dan Pengasas The Lost Food Project, Suzanne Mooney.
Sultan Nazrin mencemar duli dengan menyampaikan piala dan sijil anugerah kepada penerima dalam majlis yang diadakan mengikut amalan norma baharu itu.
Diperkenalkan pada 2012, geran tersebut ditubuhkan untuk membantu anak muda Malaysia membina kepakaran dengan belajar daripada institusi atau organisasi di peringkat antarabangsa.
Menyedari potensi anak muda Malaysia masih banyak belum diterokai, bilangan penerima geran yang dipilih meningkat kepada lima orang sejak tahun 2019.
Setakat ini, seramai 24 orang rakyat Malaysia telah menerima geran berkenaan.
#sultan nazrin #Anugerah Merdeka #Geran Anugerah Merdeka #Tuanku Zara Salim