IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 1445H/2024M sempena majlis sambutan Nuzul al-Quran peringkat negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Pada majlis tersebut dana zakat berjumlah RM11,772,300 telah diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 39,241 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh Perak.

Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari dalam kenyataan berkata, penerima bantuan dipilih daripada senarai asnaf fakir dan miskin dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak.

Selain itu, katanya, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan hemodialisis terdiri daripada asnaf fakir serta miskin turut menerima bantuan Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Nazrin diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 6.45 petang.

Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Turut hadir Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Sejurus ketibaan baginda, majlis diteruskan dengan bacaan al-Quran dan tadabbur, selain tahlil serta doa selamat, kemudiannya berbuka puasa dan mengerjakan solat maghrib berjemaah sebelum berkenan ke majlis santapan serta menyampaikan bantuan berkenaan.

Sultan Nazrin kemudiannya berkenan mengerjakan solat isyak dan solat sunat tarawih berjemaah sebelum berangkat pulang.

-- BERNAMA