NATIONAL
Sultan Nazrin rasmi Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Perak
Sultan Nazrin (dua,kiri) bersama Raja Permaisuri Perak berkenan membuat lawatan ke Pusat Pengeluaran Benih Padi pada Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri Perak hari ini. - Foto Bernama
PARIT BUNTAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, di sini hari ini.
Ringkasan AI
- Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak, diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak.
- Pembangunan semula pusat ini sejajar dengan usaha kerajaan memastikan bekalan benih padi sah yang mencukupi, berkualiti, dan mudah diakses oleh pesawah seluruh negara.
- Dengan peruntukan RM12.72 juta, pusat ini mampu menghasilkan 5,000 tan metrik benih padi setahun dan merupakan sebahagian daripada empat pusat baharu yang dijangka menyumbang 28% keperluan benih padi sah negara.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubir, selain Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu serta isteri Datin Seri Normah Alwi.
Usai merasmikan pusat itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pameran yang di pusat berkenaan sebelum ke majlis santapan dan berangkat pulang.
Sementara itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP dalam satu kenyataan) memaklumkan, perasmian itu menandakan satu langkah strategik ke arah memperkukuh ekosistem industri padi dan beras, dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Pembangunan semula pusat itu, selaras dengan hasrat kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran benih padi sah yang mencukupi, berkualiti dan mudah diakses oleh pesawah di seluruh negara.
Pusat yang melibatkan peruntukan RM12.72 juta dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun itu, dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei 2025.
"Pusat ini merupakan satu daripada empat pusat baharu yang dibangunkan Lembaga Pertubuhan Peladang, dalam usaha memperkasa ekosistem benih padi sah negara.
"Secara keseluruhan, keempat-empat pusat ini dijangka menyumbang 28 peratus daripada keperluan benih padi sah negara, iaitu bersamaan 20,000 tan metrik setahun," menurut kenyataan itu.
Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1 juta beg (20 kilogram/beg) setahun, empat pusat itu mampu menyokong penanaman padi seluas 142,857 hektar di seluruh negara dan menyumbang secara signifikan terhadap pengurangan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga.
-- BERNAMA
#Sultan Nazrin Shah
#Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah
#Pertubuhan Peladang Negeri Perak
#Mohamad Sabu