Sultan Nazrin berkenan umum gelaran Seniman Diraja kepada Datuk Lat

Afiezy Azaman
Julai 8, 2023 03:21 MYT
Sultan Nazrin berkenan mengumumkan gelaran Seniman Diraja kepada Datuk Lat sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan besar kartunis itu yang memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa. - Gambar fail
BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengumumkan gelaran Seniman Diraja kepada kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau ‘Datuk Lat’, pada Sabtu.
Gelaran itu sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan besar Lat yang memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.
Titah Sultan Nazrin, antara mesej yang dibawa Lat melalui karya-karyanya adalah masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama pada asasnya tidak berprasangka buruk antara satu sama lain, sebaliknya, memiliki naluri asas hidup secara harmoni.
Baginda bertitah, melalui lakaran-lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam berkenaan kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam suasana harmoni.
“Karikatur beliau banyak menceritakan tentang apa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.
“Lat melihat kepelbagaian tersebut sebagai aset dan khazanah berharga di negara ini. Lat memilih mengetengahkan elemen-elemen persamaan anggota masyarakat yang pelbagai itu seperti kegembiraan majlis perkahwinan, kemeriahan hari kebesaran, alam sekolah, mengalami kesesakan jalan raya, menikmati makanan di restoran dan pelbagai lagi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian kepada Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, dekat sini pada Sabtu.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohd Zamri Mat Zain; Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Lat.
Sultan Nazrin bertitah, sumbangan dan penglibatan Lat dalam dunia kartun tanah air amat terserlah serta berjaya mengangkat dirinya sebagai tokoh kartunis yang bersifat genius serta memiliki identiti yang unggul.
Titah baginda, lakaran bersahaja melalui garapan pengalaman telah meletakkan karya-karya seniman itu di kelas tersendiri selain melayakkan beliau menerima pelbagai penghargaan dan pengiktirafan antarabangsa yang turut mengharumkan nama negara.
“Karya-karya beliau menggambarkan pandangan dan analisis peribadinya terhadap pelbagai isu, menyentuh kehidupan rakyat jelata terdiri daripada pemandu bas, peguam, pemimpin politik dan negara serta menyentuh isu-isu lokal, nasional dan antarabangsa.
“Di sebalik karikatur lucu yang dikembari dengan dialog ringkas, terkandung falsafah, mesej-mesej yang serius, sindiran yang tajam, persoalan dan saranan, diolah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, tanpa mengundang konflik dan permusuhan,” titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin menzahirkan harapan agar legasi seniman agung itu dapat diwariskan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya dan Galeri Rumah Lat mampu menjadi sumber khazanah yang bernilai buat rakyat.
Lat, 72, yang dilahirkan di Kota Bharu, Gopeng itu merupakan anak sulung daripada empat beradik kepada pasangan Khalid Mohd Noh dan Noor Azian Said.
Beliau mula mengorak langkah sebagai kartunis menerusi karya-karya awalnya antaranya ‘Komik Tiga Sekawan – Menangkap Pencuri’ yang diterbitkan oleh Sinaran Brothers di Pulau Pinang pada tahun 1964, ‘Tua Keladi’ yang disiarkan di dalam Majalah Filem yang diterbitkan di Singapura (1966), serta ‘Keluarga Si Mamat’ yang disiarkan dalam Berita Minggu (1968).
Pada tahun 1974, kartun ‘Bersunat’ yang disiarkan menerusi Asia Magazine, Hong Kong berperanan sebagai pencetus kepada perubahan kerjaya beliau sebagai kartunis.
Rentetan itu, akhbar The New Straits Times (NST) melantik beliau sebagai ‘editor kartunis’ dengan memperuntukkan ruang khas ‘Scenes of Malaysia’ pada tahun 1975.
Abang kepada pengarah tersohor tanah air, Allahyarham Mohamad Mohd Khalid atau ‘Mamat Khalid’ itu pernah menerima pelbagai anugerah serta pengiktirafan dalam dan luar negara.
Antaranya adalah rakyat Malaysia yang pertama menerima anugerah "The Tokyo Creation Award Present" dari "Tokyo Fashion Association" pada tahun 1991; Anugerah Buku Negara untuk kategori Tokoh Kartunis Negara (2012); Pengiktirafan History Maker oleh History Channel (2017); serta Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
#Seniman Diraja #Datuk Lat bergelar Seniman Diraja #Sultan Perak #Sultan Nazrin Shah