[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
MALAYSIA

Sultan Pahang berkenan lancar Majlis Rekreasi Pahang, titah pelihara khazanah alam negeri

Malekah Aisyah 12/10/2025 | 10:05 MYT
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis. - Foto Unit Komunikasi Strategik Pahang
LIPIS: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli hadir ke Dataran Orang Kaya Haji, di sini, bagi menyempurnakan Pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP).


Ringkasan AI
  • Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, sambil menzahirkan penghargaan terhadap usaha mencabar ini yang bertujuan memelihara khazanah alam negeri.
  • Baginda menyeru generasi muda agar memelihara alam sekitar dan sungai sebagai aset negeri, serta menekankan kepentingan menjaga kawasan air terjun melalui kerjasama antara kerajaan, NGO dan syarikat swasta.
  • Penubuhan MRP dilihat sebagai langkah memperkukuh penyertaan masyarakat dalam pemeliharaan warisan semula jadi Pahang, selain menarik minat anak muda terhadap aktiviti rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.


Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu, baginda menzahirkan penghargaan terhadap usaha penubuhan MRP yang disifatkan sebagai satu inisiatif mencabar namun berperanan besar dalam menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi memastikan khazanah alam dipelihara sebaik mungkin untuk diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Saya anggap (penubuhan MRP) satu cadangan yang agak mencabar kerana ini melibatkan banyak risiko dalam kita menghadapi cabaran-cabaran memanjat bukit dan sebagainya.

“Namun apa yang saya dapat maklum dan juga dapat tengok dalam TikTok begitu bersungguh dan begitu hebat sekali pasukan Yang Berhormat Tuan Fadzli dan juga para pasukan telah membuktikan keupayaan dan kesungguhan mereka untuk menaiki Gunung Tahan baru-baru ini,” titah baginda dalam majlis berkenaan.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis bagi majlis pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP) disambut meriah oleh para hadirin. - Foto Unit Komunikasi Strategik Pahang


Menyentuh program yang dijalankan MRP, baginda turut menyeru agar generasi muda negeri ini menanam kesedaran terhadap kepentingan memelihara khazanah alam sekitar, yang disifatkan sebagai amanah untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Hari ini saya nak sebut dua tiga perkara berkaitan dengan khazanah secara lebih luas. Pertama alam sekitar tadi dan khazanah sungai kita. Ini juga harus menjadi satu aset, satu harta kepada kita semua.

“Dan kita juga harus memelihara sungai-sungai kita baik Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Semantan... Sungai Endau dan sebagainya. Dan kalau kita tidak memelihara, mungkin sungai-sungai ini akan dijadikan sungai yang bertoksik dan kotor dan sebagainya,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menyampaikan pesanan agar generasi muda terus memelihara khazanah alam negeri untuk diwarisi generasi akan datang sempena pelancaran Majlis Rekreasi Pahang (MRP). - Foto Unit Komunikasi Strategik Pahang


Baginda turut menyentuh isu kebersihan kawasan air terjun yang menjadi tarikan pelancongan negeri selain perlu dijadikan satu aset atau harta kepada khazanah negeri ini.

“Dan kalau boleh kenal pastikan kawasan air terjun yang boleh dipelihara sebaik mungkin dan harus beri tumpuan. Kalau pun kerajaan tidak dapat bagi kepada semua, mungkin di sinilah kita boleh menjemput membuat kolaborasi dengan NGO (badan bukan kerajaan) ataupun syarikat-syarikat.

“Tetapi inisiatifnya mestilah dilakukan oleh pihak kerajaan. Kalau tidak mereka tidak akan ambil peduli. ‘So’ saya harap ini dapat kita tumpukan pada anak-anak muda kita ini,” titah baginda lagi.

Penubuhan MRP dilihat sebagai usaha memperkukuh penyertaan masyarakat dalam memelihara warisan semula jadi negeri, selain menarik minat generasi muda terhadap aktiviti rekreasi dan khazanah alam Pahang.


#Sultan Pahang #Majlis Rekreasi Pahang #khazanah alam #Pahang