MALAYSIA

Sultan Pahang, Tengku Ampuan zahir penghargaan kepada warga ATM

Bernama 16/09/2025 | 03:30 MYT
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah bersempena dengan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-92. - Gambar Facebook Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah bersempena dengan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-92.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh warga ATM sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara atas dedikasi, keberanian serta semangat juang yang kental dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air.

"Penghormatan turut dizahirkan kepada para perwira ATM yang telah gugur ketika menjalankan tugas. Jasa, bakti dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang sepanjang zaman, dan semoga roh mereka dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan para syuhada," menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda berdua turut berdoa supaya ATM terus diperkasakan dengan teknologi serta kepakaran strategik, sentiasa berada di barisan hadapan dalam mempertahankan tanah air dan panji ATM terus berkibar megah demi keamanan, kemakmuran dan kedaulatan Malaysia yang dicintai.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada warga ATM yang menjadi benteng utama berdiri teguh demi keamanan, kestabilan dan kemakmuran Malaysia.

"Terima kasih diucapkan kepada seluruh anggota ATM atas pengorbanan, keberanian, dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

-- BERNAMA



#Hari Angkatan Tentera Malaysia #Sultan Pahang #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah