Sultan Pahang tunjuk perkembangan positif

Bernama
Oktober 18, 2018 13:07 MYT
Tengku Abdullah bersalaman dengan orang ramai yang menyertai majlis kesyukuran dan doa selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Masjid Sultan Ahmad Shah, hari ini. -Foto Sinar Harian
Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan perkembangan positif, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Baginda juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat dan pemimpin di Pahang kerana mendoakan kesejahteraan serta kesihatan ayahanda baginda.
"Alhamdulillah... saya baru dapat laporan terkini pada petang tadi bahawa tuanku masih beristirahat dan masih dalam jagaan doktor di IJN.
"Nampak ada improvement tapi masih lagi dalam pengawasan. Sama-sama kita berdoa supaya tuanku pulih," titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Memuliakan Ulang Tahun Sultan Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan anggota majlis mesyuarat kerajaan Pahang, ketua-ketua jabatan negeri dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.
Titah Tengku Abdullah itu secara tidak langsung menafikan kenyataan yang tular di laman media sosial hari ini, yang mengatakan Sultan Ahmad Shah berada dalam keadaan koma di IJN.
Sultan Ahmad Shah akan menyambut ulang tahun keputeraan baginda pada 24 Okt depan.
-- BERNAMA
#Adnan Yaakob #Institut Jantung Negara #perkembangan positif #Sultan Ahmad Shah #Sultan Pahang #Tengku Abdullah