IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, pada Isnin.

Pada majlis berkenaan, Baginda berkenaan menyampaikan Bantuan Aidilfitri daripada dana zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM8.3 juta kepada penghulu-penghulu daerah di seluruh Perak untuk diagihkan kepada 33,342 penerima.

Selain itu, Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota MAIPk kepada Toh Maharaja Indera Dr Khairil Anuar Arshad dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein.

Turut berangkat ke majlis, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua MAIPk Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Yusop Husin serta barisan exco kerajaan negeri.

Terdahulu, majlis sambutan dimulakan dengan tazkirah, bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat, diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 300 jemaah seterusnya solat Magrib berjemaah.

Sebelum berangkat pulang, Sultan Nazrin berkenaan menunaikan solat Isyak dan tarawih secara berjemaah.

Sementara itu, MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan, agihan bantuan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM9.18 juta dengan 36,754 penerima.

"Agihan itu meliputi asnaf fakir dan miskin serta asnaf mualaf seramai 3,412 orang dengan agihan berjumlah RM853,000," katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, komposisi anggota MAIPk yang dilantik adalah daripada kalangan mereka yang berpengalaman, berpengetahuan dan mempunyai kepakaran masing-masing dalam memperkasakan agenda memartabatkan ummah.